Etika kerja Sultan Nazrin sama seperti almarhum ayahanda baginda - Tan Sri Zahidi
Astro Awani
Mei 4, 2015 15:40 MYT
Mei 4, 2015 15:40 MYT
Tugas sebagai juruiring kepada sultan bukan tugas yang mudah. Ia bukan sekadar mengiringi dan menjaga keselamatan orang kenamaan, malah tugas juruiring lebih daripada itu.
Ikuti perkongsian pengalaman Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Perak, Tan Sri Zahidi Zainuddin yang juga bekas juru iring Almarhum Sultan Azlan Shah.
Hubungan antara Zahidi dengan kerabat diraja Perak bermula sejak menjadi juruiring kepada Almarhum Sultan Azlan Shah pada 1992.
Mengimbas kembali ketika mula-mula bertugas sebagai juruiring, Zahidi masih ingat ketika Almarhum Sultan Azlan yang langsung tidak berbual dengannya pada bulan pertama beliau bertugas bersama baginda.
"Tuanku (Sultan Azlan) tidak bercakap pun sepatah dengan saya, selama lebih kurang satu bulan.
"Tetapi pada suatu hari dalam Istana Iskandariah, Tuanku telah mula bercakap dengan saya, soalan yang baginda tanya yang saya tak lupa, Tuanku tanyakan, Kolonel awak lahir dari mana?," cerita beliau kepada Astro AWANI.
Bagi Zahidi, permulaan perbualan setelah sebulan bertugas merupakan saat paling menyentuh hatinya hingga hari ini.
Pada masa sama, Zahidi masih berpegang teguh dengan titah dan amanat Almarhum Sultan Azlan berkenaan tanggungjawab sebagai juruiring.
"Yang saya tak boleh lupa yang sering saya ulangi, as ADC, you must be my shadow, but not be seen, ungkapan ini saya istilahkan saya tidak jauh dari Tuanku tapi senantiasa memberi tumpuan sepenuh masa dengan Almarhum. Satu istilah saya takkan lupa," katanya.
Tatkala melihat personaliti Sultan Nazrin, Zahidi mengibaratkan bak peribahasa, bapa borek anak rintik kerana ketelitian Sultan Nazrin dalam tugas seharian tak tumpah seperti almarhum ayahanda baginda.
"Tuanku Nazrin Syah dengan almarhum tidak banyak perbezaan, etika kerja, etika harian mereka kemas, very detail dalam segala pengurusan," katanya lagi.
Zahidi beranggapan, persamaan Almarhum Sultan Azlan dan Sultan Nazrin bukan hanya pada personaliti, malah melibatkan etika kerja dan kepentingan rakyat.