ESSZONE, 'langkah pertama' selesai isu Sabah yang rumit

Teoh El Sen
April 1, 2013 08:39 MYT
Penubuhan Zon Selamat Sabah Timur atau Eastern Sabah Safety Zone (ESSZONE) yang diumumkan baru-baru ini dilihat sesetengah pihak sebagai satu 'batu loncatan' buat kerajaan dalam menangani masalah pendatang di Sabah yang semakin rumit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
ESSZONE mempunyai matlamatnya sendiri iaitu yang paling utama bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk di Sabah khususnya dan Malaysia secara am.
Zon keselamatan ini merangkumi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.
ESSZONE turut melibatkan penempatan semula pendatang tanpa izin ataupenduduk tanpa kerakyatan. Pendekatan holistik, dan bukan pendekatan tentera, akan digunakan susulan krisis pencerobohan pengganas Sulu pada 9 Feb.
“Saya lihat ini sebagai proses pembersihan setelah ia menjadi isu bertahun-tahun. Kita mungkin terlepas pandang isu ini namun pengganas telah membuka mata untuk kita mengambil tindakan,” kata seorang pemerhati yang memantau isu ini.
Peguam yang enggan namanya disiarkan itu berkata bahawa pertumpahan darah yang disebabkan oleh serangan pengganas telah mendedahkan isu yang lebih besar iaitu berkaitan pendatang dengan izin dan tanpa izin di negeri itu.
“Kita semua maklum bahawa selama berabad-abad lamanya, pergerakan di antara Sabah dan Filipina amat mudah, dan ini diikuti dengan hubungan perdagangan yang terjalin antara masyarakat yang ada kaitan antara satu sama lain di kedua-dua kawasan.
"Golongan ini dikatakan keluar masuk tanpa pasport dan ramai kemudiannya didakwa diberi hak kewarganegaraan. Kini kita berada pada situasi di mana terkeliru sama ada mereka adalah rakyat Filipina atau Malaysia.
"Ia sudah menjadi seperti keselesaan dari segi fizikal, geografi, budaya ... dan saya percaya kerajaan mahu menyelesaikan isu-isu ini sekarang. Malah, ia kini menjadi satu keutamaan, " katanya.
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berhubung hak asasi, Tenaganita mengingatkan kerajaan bahawa 'isu Sabah' melibatkan "implikasi politik yang luas berikutan keadaan yang semakin rumit" dan ianya tidak harus diselesaikan dengan tindakan 'pemindahan orang'.
Pengarah eksekutifnya, Irene Fernandez berkata bahawa terdapat beberapa kebimbangan berkaitan dengan ESSZONE dan antaranya adalah tentang hak pendatang tanpa izin dan orang tanpa kerakyatan.
"Kami ingin melihat pihak berkuasa kita mengiktiraf dan melayan pendatang dan mereka tanpa kerakyatan sepatutnya, ini amat penting.
"Kita tidak mahu tindakan membawa kepada pengawalan pergerakan, tindakan keras dan deportasi. Itu akan menjadi satu situasi yang buruk," katanya, sambil menambah bahawa perlembagaan persekutuan menjamin bahawa "semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang".
Bagi mewajarkan kebimbangan beliau, Fernandez mendakwa Tenaganita telah menjalankan misi pencarian fakta di Sabah pada tahun 2005 dan mendapati bahawa terdapat sekurang-kurangnya 10,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri berkenaan.
"Susulan satu operasi yang dijalankan di Sabah pada 2002, ramai yang telah ditahan. Kami mendapati bahawa kad pengenalan sementara dan sijil kelahiran sesetengah mereka telah dirampas, ia amat serius.
"Kanak-kanak tanpa kerakyatan ini, sebahagian daripada mereka ditinggalkan ibu bapa mereka yang melarikan diri. Akibatnya mereka tidak dapat kembali ke sekolah," katanya.
“Walaupun pihak berkuasa memberi jaminan akan mengambil kira kebajikan mereka yang ditahan, namun, bagaimanakah ia akan dilaksanakan? Terutama sekali apabila membabitkan nasib mereka yang tidak mempunyai kerakyatan dan tanpa dokumen yang sah?" katanya.
Dari segi sejarah, Fernandez berkata, kerajaan tidak mengiktiraf hak untuk bekerja atau hak untuk tinggal buat pelarian, kecuali pada tahun 70-an itupun untuk satu tempoh yang singkat.
Diminta untuk memberikan cadangan, Fernandez berkata pada peringkat ini, agensi-agensi kerajaan harus berinteraksi secara aktif dengan penduduk setempat selain mengelak daripada menjadikan ia satu proses yang mendiskriminasi selain memastikan kehidupan orang ramai dikekalkan.
"Semua orang mesti mendapat manfaat daripada langkah-langkah yang dilaksanakan. Mereka mesti merasakan bahawa kerajaan mengambil kisah. Kita tidak boleh membiarkan perasaan anti-pendatang atau xenofobia terbina. Kita juga perlu berhati-hati kepada mereka yang berkemungkinan mewujudkan 'dinding' mereka sendiri dan enggan menerima perubahan yang bakal berlaku. Golongan inilah dikuatiri akan diambil kesempatan oleh mereka pengganas Sulu," katanya lagi.
#Eastern Sabah Safety Zone #ESSZONE #Irene Fernandez #Tenaganita #Zon Selamat Sabah Timur
;