ESSZone diperkuat dengan aset baharu ATM - Hishammuddin

Bernama
Januari 25, 2015 08:21 MYT
HISHAMMUDDIN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan satu batalion infantri lengkap dengan kekuatan 650 anggota di bawah briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) diperkuat dengan penempatan aset terbaru Tentera Darat iaitu 12 kenderaan berperisai AV 8x8 untuk mengawal dan menghadapi sebarang ancaman di kawasan itu.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menempatkan satu batalion infantri lengkap dengan kekuatan 650 anggota di bawah briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).
Ini akan dilakukan sebaik sahaja kem di Felda Sahabat, Lahad Datu siap sepenuhnya, katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi tempur Tentera Darat di Lapangan Terbang Tawau di sini pada hari Sabtu.
"Aset-aset yang telah kita kenal pasti untuk memastikan keselamatan Sabah sudah pun berada di sini. Ini bukan janji lagi tetapi merupakan apa yang kita mahu kotakan, apa yang telah dijanjikan kepada rakyat Sabah.
"Dua belas kenderaan perisai AV 8X8 merupakan aset terbaru Tentera Darat dan fasa pertama ini kita telah memutuskan keutamaan diletakkan di Sabah dahulu," katanya.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.
Hishammuddin seterusnya berkata kenderaan perisai AV 8X8 yang diberi nama 'Gempita' buatan Turki itu amat menepati keperluan ketenteraan moden dan akan ditempatkan di Kem Kukusan, Tawau.
Selain itu, katanya, 18 kenderaan perisai 'Military Infantry Fighting Vehicle'(MIFV) telah digerakkan sejak Disember lalu dan kini ditempatkan di Kota Belud.
"Penempatan aset-aset ini diharap dapat menguatkan lagi pasukan keselamatan kita di ESSZone dalam menghadapi ancaman pencerobohan seperti insiden Lahad Datu dan ancaman baharu iaitu (kumpulan militan) IS," katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut menekankan kepentingan untuk menjaga kebajikan anggota pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan ESSZone.
"Kadang kala orang terlepas pandang, orang selalu nampak aset dan kem sahaja tetapi dari segi perumahan semua itu diambil kira kerana kalau kita mahu menaik taraf kem dan aset, kebajikan mereka perlu terus dibela," katanya.
Sementara itu, Musa melahirkan penghargaan terhadap kerajaan pusat dan ATM atas penempatan aset-aset tersebut bagi menjaga keselamatan Sabah.
#ATM #ESSCom #ESSZONE #felda sahabat #hishamuddin tun hussein #Lahad Datu #Sabah
;