Esscom rangka strategi holistik jamin keselamatan, kehormanian di Esszone
Bernama
November 8, 2014 18:44 MYT
November 8, 2014 18:44 MYT
Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang sentiasa berdepan cabaran aktiviti jenayah rentas sempadan telah merangka strategi holistik bagi memastikan keselamatan dan keharmonian di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).
Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun berkata ini termasuk menguatkuasakan "perintah berkurung", menambah bilangan anggota dan aset keselamatan serta pertahanan.
Beliau berkata Esscom yang dipertanggungjawabkan menyelaras kawalan keselamatan di Esszone turut merancang menambah bilangan pos kawalan di kawasan strategik.
"Kita sedar bahawa kes-kes penculikan, penyeludupan dan pencerobohan merupakan masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat di sekitar Pantai Timur Sabah khasnya di daerah Semporna, Tawau, Kunak, Lahad Datu dan Sandakan.
"Inilah cabaran utama kita. Justeru itu Esscom telah merangka beberapa strategi untuk menangani masalah ini," katanya ketika berucap pada Program Semarak Bersama Esscom yang dirasmikan anggota Parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh di Desa Wawasan Merotai Besar, dekat sini hari ini.
Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Sebalik Datuk Abdul Muis Picho, Pengarah Awam Esscom Ruji Ubi dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob.
Selain itu, Abdul Rashid berkata kawalan dan pengawasan di kawasan perairan negara akan dipertingkatkan dengan melengkapkan Esscom dengan sistem radar berteknologi tinggi serta menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat swasta untuk berkongsi keupayaan radar untuk diintegrasikan dengan Esscom.
"Kita juga akan mempertingkatkan keupayaan risikan dan kerjasama dua hala dengan kerajaan Filipina bagi berkongsi maklumat risikan, dan mengadakan kerjasama rapat dengan pengusaha resort dan pengusaha ternakan ikan sangkar dengan menempatkan pasukan keselamatan di kawasan-kawasan resort yang terdedah dengan jenayah culik," katanya.
Beliau berkata Esscom akan meneruskan pelaksanaan OP Gasak di kawasan perkampungan dan resort-resort bagi membasmi kehadiran pendatang tanpa izin (Pati) yang boleh memberi ancaman keselamatan serta menyalurkan maklumat kepada penjenayah.
Mengenai program Semarak Bersama Esscom, katanya peserta program akan mendapat gambaran jelas mengenai Esscom dan Esszone, sekali gus membantu menangkis serta memberi penjelasan terhadap isu-isu keselamatan yang sering dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan rasa takut dan tegang.
"Kita juga berharap agar lebih ramai pemimpin masyarakat akar umbi tampil membantu kerajaan khasnya Esscom dengan menjadi mata dan telinga kerajaan termasuk menyalurkan maklumat keselamatan selain menyebarluaskan maklumat-maklumat keselamatan yang sahih kepada semua penduduk di kawasan masing-masing," katanya.
Abdul Rashid menasihati penduduk kawasan Esszone supaya tidak mudah terpengaruh dan percaya dengan khabar angin yang tersebar melalui media sosial, sebaliknya merujuk kepada pihak keselamatan atau Esscom untuk mengetahui kesahihannya.
"Saya juga mohon supaya jangan “Share” (kongsi) atau menyebar maklumat atau berita yang tidak diketahui kesahihannya kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat," katanya sambil menambah Esscom tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang bersubahat atau melindungi Pati.
Esszone merangkumi 10 daerah yang meliputi 1,733.7 kilometer dari Kudat ke Tawau. Daerah terbabit ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, dan Tawau.