Eskalator terbakar di Jalan Ampang bukan seliaan Rapid Rail
Bernama
Mac 7, 2022 22:03 MYT
Mac 7, 2022 22:03 MYT
KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd hari ini menjelaskan eskalator di Jalan Ampang di sini, yang terlibat dengan insiden kebakaran awal pagi tadi, bukan di bawah seliaan pihaknya.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan, gambar yang tular di media sosial mendakwa eskalator di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park terbakar adalah kurang tepat, dan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pengguna yang menghubungi pihaknya sejak pagi tadi, bagi mendapatkan penjelasan.
"Eskalator tersebut merupakan sebahagian daripada jejantas pejalan kaki yang digunakan oleh orang awam untuk menyeberangi Jalan Ampang. Ia bukan milik atau di bawah selenggaraan Rapid Rail.
"Difahamkan semua pihak terlibat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia, serta pihak kontraktor bagi mengenal pasti punca kebakaran," menurut kenyataan itu.
Rapid Rail memberi jaminan akan mempertingkatkan langkah keselamatan di stesen LRT tersebut bagi menjamin keselesaan pengguna, selain akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa, untuk mencari kaedah alternatif bagi mengakses stesen itu dengan mudah dan selamat.
Kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada 5.16 pagi tadi dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.
-- BERNAMA