Ese buek kojo elok-elok, sotiap koputusan yang ese koba an tu koputusan mesyuarat kabinet, harap somuo paham (Saya buat kerja elok-elok, setiap keputusan yang saya umum adalah hasil mesyuarat kabinet, saya harap semua faham)
Itu jawapan pertama dalam loghat pekat Negeri Sembilan yang muncul ketika ditanya tentang tekanan yang diterima sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek terutama selepas pengumuman penarikan subsidi minyak mulai 1 Disember ini.
Katanya, dia sebenarnya sudah lali dengan tekanan, kutukan atau tohmahan masyarakat mengenai perubahan barangan pengguna terutama apabila penumuman keaikan harga atau pengurangan subsidi.
"Saya sudah biasa sebenarnya, semua orang boleh memberi 1001 pendapat dan cadangan termasuk berunsur peribadi serta penuh emosi, namun yang menguruskannya adalah kita (kerajaan).
"Biasalah, seharusnya mereka memahami perancangan kerajaan pada akhirnya adalah untuk rakyat. Setiap pendapat kita terima dan kita pertimbangkan," jelasnya ketika ditemui semasa Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah memberitahu, dia turut mengharap pihak media untuk membantunya menyebarkan maklumat berkenaan kementeriannya kepada masyarakat.
"Saya memang bergantung kepada media untuk memberi pemahaman terhadap pelbagai isu harga barang. Penerangan yang diberi kepada rakyat perlu disalur dengan saluran media yang betul-betul mahu membantu.
"Saya minta media tertentu tidak memanipulasi sebarang maklumat untuk kepentingan pihak tertentu," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, pendekatan yang dibuat kementeriannya mungkin bersifat tidak populis namun
Hasan turut mengakui kini bersedia menghadapi cabaran untuk memberi pemahaman sebelum pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) seperti yang dijadualkan pada tahun depan.
"Kita sentiasa bersama agensi dan jabatan berkaitan dalam isu GST, kita mahu rakyat menerima cerita sebenar.
"Cakaplah apa sahaja, setiap perancangan kerajaan adalah demi kepentingan rakyat," ujarnya.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Hasan mengakui tahu dirinya dikutuk namun tidak memperdulikan setiap tohmahan yang dilemparkan.
"Orang boleh cakap apa sahaja yang mereka suka. Kalau pandai sangat dan ada idea yang bagus, kenapa tidak dikongsi bersama saya.
"Saya terima semua kutukan dengan hati terbuka kerana sebagai menteri, saya akan cuba buat yang terbaik. Orang mungkin tak suka tetapi saya berusaha untuk membuat yang terbaik untuk rakyat," katanya ketika dipetik daripada portal berkenaan.