Eropah jadi pilihan pelarian, negara Islam belum cukup bertindak - Sultan Nazrin

Harits Asyraf Hasnan, Firdaus Azil
Disember 21, 2019 11:12 MYT
Sultan Nazrin Shah hadir di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pagi ini bagi menyempurnakan majlis penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019. Baginda disambut Perdana Menteri dan isteri serta beberapa menteri kabinet. Astro AWANI/Khairulazman Mohamad
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya negara-negara Islam meningkatkan kemjuan bagi membantu umat yang dipinggirkan dan diusir dari tanah air mereka, serta menjadi pelarian.
Titah baginda, penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit) dilihat menjadi penghubung antara negara Islam seluruh dunia, sekali gus sebagai penggerak kepada penyelesaian yang dihadapi umat Islam.
Malah, baginda percaya banyak perubahan positif akan dapat dicapai jika krisis yang mendepani umat Islam dijadikan asas pada siri sidang kemuncak akan datang.
“Bagi keluarga mahupun individu yang telah meninggalkan negara mereka ekoran tekanan dan ketakutan dalam hidup, sama ada di Palestin, Syria, Afghanistan, Iran atau dari negara yang telah hancur akibat perang dan penganiayaan, mereka tidak lagi mampu terus menunggu penyelesaian yang bertahun lamanya, yang juga berkemungkinan tidak akan wujud.
“Susah payah mereka, adalah semata-mata untuk terus hidup. Jadi apa yang boleh kita lakukan untuk memastikan para pelarian dan mereka yang amat mengharapkan bantuan kita?
“Bagaimana kita hendak gunakan kemajuan yang kita laksanakan dalam pembangunan dan kedaulatan nasional untuk membantu mereka yang berada di luar sempadan kita, memberi perlindungan kepada mereka yang tiada tempat tinggal, dan suara kepada mereka yang disekat?
"Kerana pada ketika ini, realiti yang harus diterima, apa yang dilakukan negara Islam masih tidak mencukupi,” titah baginda.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah delivers HRH Royal Address in conjunction with the #KLSummit2019 @501Awani pic.twitter.com/q1yF5SbIVT

— Harits Asyraf Hasnan AWANI (@AsyrafAWANI) December 21, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja Penutupan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Dalam ucapannya, baginda bertitah, salah satu sebab mengapa pelarian negara Islam cuba mendapatkan perlindungan di Eropah adalah kerana mereka percaya negara di benua itu mampu menyediakan peluang, akses pendidikan, laluan ke kedudukan kewangan lebih baik.
Paling penting, titah baginda lagi, para pelarian percaya di tempat baharu itu mereka akan mendapat apa yang telah hilang dan telah dirampas di negara asal masing-masing, iaitu kebebasan, maruah, serta hak asasi.
Atas sebab itu, Sultan Nazrin berpendapat, fokus dan visi yang digariskan dalam sidang kali ini mampu menghadirkan sinar buat para pelarian Muslim itu.
“Dalam keadaan di mana negara Islam semakin makmur, lebih stabil, serta maju dalam bidang teknologi, pendidikan dan peluang pekerjaan, maka ia boleh menjadi tempat yang ideal kepada pelarian ini.
“Negara Islam ini juga boleh membiayai aktiviti kemanusiaan, serta mempunyai pengaruh lebih besar dalam memastikan dunia menumpukan pandangan terhadap krisis kemanusiaan yang melanda pelarian Muslim ini,” titah baginda lagi.
Dalam usaha menjadikan visi ini menjadi realiti, Sultan Nazrin bertitah, negara Islam kini perlu memberi perhatian terhadap apa yang sedang berlaku di luar sempadan mereka.
“Menangani dan memahami penderitaan dan kepayahan yang dialami pelarian Muslim tanpa negara di serata dunia perlu menjadi keutamaan, yang mana kita (sebagai negara Muslim) perlu lebih melibatkan diri dalam setiap perbnicangan di peringkat antarabangsa,” titah Baginda lagi.
Merujuk kepada krisis yang mendepani rakyat Syria, Sultan Nazrin bertitah, para pelarian dari negara itu memilih Eropah sebagai tempat perlindungan mereka sedangkan beberapa negara Islam lain hanya bersebelahan tanah air mereka.
Pada majlis yang sama, baginda turut mengumumkan penukaran nama Sidang Kemuncak Kuala Lumpur sebagai Dialog Perdana.
Sewaktu menyampaikan ucapan penutupan sidang kemuncak kali ke-lima itu, Sultan Nazrin bertitah, penukaran nama itu mengesahkan komitmen sidang kemuncak dalam melahirkan perbincangan dan kerjasama antara negara Islam.
“Pada masa yang sama, ia menekankan mengenai peranan dan tanggungjawab kita untuk memastikan segala hasil perbincangan yang tercapai, dapat dilaksanakan,” titahnya lagi.
Turut menghadiri majlis penutup itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi KL Summit 2019, Timbalan Pengerusi Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta beberapa menteri Kabinet yang lain.
#Afghanistan #Islam #KL Summit #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #negara Islam #Palestin #pelarian #rakyat #sidang kemuncak #Sultan Perak #Syria
;