ERL tingkatkan usaha cegah koronavirus
Saraya Mia
Februari 7, 2020 18:58 MYT
Februari 7, 2020 18:58 MYT
Ketika penularan koronavirus mencetus kebimbangan, pengurusan Express Railway Link (ERL) mengambil langkah-langkah khas pencegahan wabak berkenaan.
Usaha yang diambil itu bagi memastikan keyakinan pelanggan untuk terus menggunakan pengangkutan awam, khususnya kereta api ekspres ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Operasi dan Penyelenggaraan ERL, Thomas Baake, lima kunci utama yang diketengahkan syarikat itu merangkumi kepentingan pelanggan, kakitangan, kereta api, stesen kereta api serta tahap kesedaran awam.
“Kami menyediakan pembersih tangan di semua kaunter tiket (selain) melakukan pembersihan persekitaran di setiap stesen dengan kerap dan menggunakan ubat pembasmi kuman yang kuat.
“Di dalam kereta api pula, kami melakukan pembersihan di permukaan yang kerap disentuh setiap malam,” katanya kepada wartawan ketika sesi demonstrasi pencegahan novel koronavirus di stesen ERL, KL Sentral, di sini hari ini.
Beliau berkata, Peralatan yang kerap disentuh termasuk butang pintu, pemegang rail di eskalator dan pemegang besi di dalam kereta api menjadi keutamaan syarikat itu.
Dalam masa sama, pengurusan ERL juga, kata Baake, akan memastikan pembersihan wap panas dilakukan di kerusi penumpang.
Langkah-langkah lain yang diambil termasuk meningkatkan kebersihan persekitaran di semua stesen ERL termasuk KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya, Salak Tinggi, KLIA dan KLIA2.
Usaha yang diambil oleh ERL seiring dengan gesaan Kementerian Pengangkutan kepada kesemua operator pengangkitan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan tahap kebersihan bagi mencegah penularan novel koronavirus.
#coronavirus
#ERL
#Express Railway Link
#kereta
#kereta api
#KL Sentral
#KLIA
#KLIA2
#koronavirus
#Kuala Lumpur
#pembersihan
#pengangkutan
#Putrajaya