ERL sambung semula perkhidmatan KLIA Ekspres, KLIA Transit 3 Jan tahun depan
Bernama
Disember 15, 2022 23:47 MYT
Disember 15, 2022 23:47 MYT
KUALA LUMPUR: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan menyambung semula perkhidmatan Kuala Lumpur International Airport (KLIA) Ekspres dan KLIA Transit dari 3 Jan 2023 untuk menampung peningkatan jumlah penumpang.
ERL dalam satu kenyataan hari ini berkata penyambungan semula perkhidmatan itu dibuat selepas ia melaksanakan penggabungan perkhidmatan tren berikutan penurunan jumlah penumpang akibat pandemik COVID-19.
"Pelanggan syarikat penerbangan akan dapat kembali menikmati perkhidmatan perjalanan tren selama 28 minit tanpa henti dari Kuala Lumpur (KL) Sentral ke KLIA (KLIA2 dalam 33 minit), menjadikan KLIA Ekspres kekal sebagai mod pengangkutan ke lapangan terbang terpantas.
Dengan penyambungan semula perkhidmatan yang ditetapkan, KLIA Ekspres akan beroperasi dengan kekerapan setiap 20 minit pada waktu puncak di sebelah pagi dan petang.
Kekerapan perkhidmatan KLIA Transit pula akan dirombak semula kepada setiap 15 minit pada waktu puncak hari bekerja dengan waktu puncak dilanjutkan sehingga pukul 8 malam dari pukul 7 malam pada masa ini untuk keselesaan penumpang. Di KL Sentral, tempat berlepas kereta api KLIA Ekspres akan kembali di platform Dewan Berlepas, katanya.
Untuk mengalu-alukan kembali pelanggan setianya, ERL akan menawarkan Ganjaran "Double Hop-piness" untuk ahli EkspreSmiles memperoleh dua kali ganda mata EkspreSmiles pada tiket tren terpilih yang dibeli dari dalam talian mulai 3 hingga 31 Jan 2023 bersempena dengan sambutan Hari Tahun Baharu Cina.
ERL menggalakkan pelanggannya untuk mendaftarkan diri sebaagi ahli EkspreSmiles dan membeli tiket menerusi aplikasi atau laman sesawang KLIA Ekspres bagi mereka menikmati potongan 10 peratus dalam talian selain daripada mendapat mata yang boleh ditebus untuk diskaun dan pembelian akan datang.
Penumpang dinasihatkan menyemak jadual perjalanan kereta api dan merancang perjalanan dari awal bagi mengurangkan masa menunggu selain daripada memastikan cukup masa untuk menaiki penerbangan mereka.
Bagi mendapatkan jadual penuh kereta api dan kemas kini promosi, sila layari www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres. Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan lanjut menerusi talian pertanyaan pelanggan di 03-22678000 (Isnin hingga Jumaat dari 8.30 pagi hingga 6 petang) dan Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.
-- BERNAMA