ERL lancar aplikasi KLIA Ekspres baharu, EkspreSmiles
Umavathi Ramayah
Oktober 12, 2021 14:07 MYT
Oktober 12, 2021 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Pengendali perkhidmatan kereta api KLIA Ekspres dan KLIA Transit, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) hari ini melancarkan aplikasi KLIA Ekspres baharu dan program kesetiaan, EkspreSmiles sebagai menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai.
Dengan aplikasi KLIA Ekspres yang baharu ini, pelanggan boleh menikmati tawaran-tawaran menarik seperti tambang terendah pertama dan juga cadangan nilai hebat.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pandemik COVID-19 mengajar dunia untuk mengadaptasi normal baharu termasuk pendigitalan dan transaksi tanpa tunai dalam pengangkutan awam.
"ERL merupakan syarikat pengendali perkhidmatan kereta api pertama di Asia Pasifik yang memperkenalkan penggunaan transaksi tanpa sentuhan Visa di pintu masuk pada 2010.
"Kemudian pada 2013, syarikat ini melancarkan aplikasi mudah alih dan kini menerima hampir semua transaksi digital seperti e-wallet di kaunter dan secara dalam talian," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran yang diadakan secara maya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor menyifatkan, pelancaran aplikasi KLIA Ekspres baharu dan program kesetiaan itu adalah selari dan bertepatan pada masa masanya.
"Dengan kelonggaran sekatan perjalanan yang diberi kerajaan baru-baru, kami menjangkakan perjalanan keluar masuk akan meningkat terutamanya bagi tujuan perniagaan, bekerja dan melancong.
"Jadi dengan pelancaran aplikasi ini, ia akan memberi manfaat kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.
Menurut Noormah, menerusi program kesetiaan, EkspreSmiles, pelanggan dapat mengumpul mata ganjaran yang membolehkan mereka menikmati potongan hebat untuk pembelian tiket seterusnya.
Beliau memberitahu, sepanjang tempoh kempen 12 Oktober hingga 15 Disember ini, pelanggan akan mendapat mata ganjaran berganda apabila mereka mendaftar sebagai ahli EkspreSmiles dan juga bagi setiap pembelian tiket perjalanan.
"Mata bonus juga dapat diperoleh semasa membeli pakej dan tambang potongan tertentu seperti pakej keluarga dan group saver.