Eric Paulsen ditangkap polis kerana tuit hasutan

Astro Awani
Mac 22, 2015 18:18 MYT
Eric Paulsen ditahan polis kira-kira jam 5 petang tadi di Dataran Merdeka.
Peguam hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen ditahan hari ini di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dipercayai kerana tuitnya yang didakwa menghasut, kata peguamnya Melissa Sasidaran melalui Twitter.
Melalui Twitter Melissa memberitahu, Paulsen telah ditahan pihak polis kira-kira jam 5 petang tadi sewaktu mereka sedang minum petang bersama teman-teman lain dalam acara Arts For Grab.
Dalam insiden yang berlaku di aras bawah tanah Dataran Merdeka itu, difahamkan, telefon bimbit Paulsen juga telah dirampas.
“Dia ditahan kerana kesalahan di bawah Akta Hasutan namun tiada maklumat lanjut setakat ini,” ujarnya yang menambah pihak polis sedang memohon reman bagi penahanan Paulsen.
Penahanan Paulsen dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa tuitnya yang mempersoalkan tentang pelaksanaan hudud di Kelantan.
Sementara itu ketika dihubungi Bernama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Zainuddin Ahmad mengesahkan Paulsen ditahan di ibu negara pada kira-kira 5.30 petang dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Menurutnya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan.
Dewan Undangan Negeri Kelantan pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau undang-undang hudud yang terpakai kepada hanya orang Islam mukallaf jika ia dilaksanakan kelak di negeri itu.
Bagaimanapun, ia hanya boleh dilaksanakan selepas diluluskan Parlimen.
#akta hasutan #eric paulsen #hudud #melissa sasidaran #polis #tangkap
;