Ergonomik: Adakah terpakai ketika bekerja dari rumah?
Prof Madya Dr Rozanah Ab Rahman
November 3, 2020 09:38 MYT
November 3, 2020 09:38 MYT
ERGONOMIK secara umum bermaksud peraturan bekerja bagi memastikan peralatan dan sistem kerja yang digunakan oleh seseorang dalam menjalankan aktiviti itu adalah sesuai dengan mereka.
Ringkasnya ialah penyesuaian tugas dan persekitaran kerja terhadap seseorang pekerja atau hubungan antara manusia dengan alat dan sistem kerja.
Apakah kepentingan pengurusan ergonomik di tempat kerja oleh pihak majikan? Secara amnya, kewajipan mengurus ergonomik sangat penting kerana penyakit yang disebabkan oleh masalah ergonomik adalah penyakit yang dikenali sebagai ‘musculoskeletal disorders’ (MSDs).
Pekerja perlu menyedari apakah kesan penyakit MSDs ini kerana kesedaran itu melindungi diri mereka daripada menderita kerana penyakit ini di kemudian hari. MSDs adalah suatu gangguan terhadap fungsi sendi, ligamen, saraf, otot dan tulang belakang.
Pengidap penyakit ini akan merasa sakit yang mengurangkan kemampuannya untuk bergerak dalam melaksanakan rutin harian. Gangguan itu akan memberi kesan ke atas anggota tubuh badan termasuklah leher, bahu, pergelangan tangan, pinggul, lutut dan kaki.
Keseluruhannya, faktor risiko ergonomik adalah sebarang faktor atau pendedahan yang menyumbang kepada kecederaan otot ‘muscular’ seseorang.
Isu atau masalah jangka panjang penyakit ergonomik ini akan memberi kesan kepada produktiviti tenaga manusia dan keuntungan sekali gus mengakibatkan pertambahan kos pampasan.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaporkan statistik peningkatan kes MSDs daripada 675 kes pada tahun 2014 kepada 708 kes (2015), 1,006 kes (2016) seterusnya 1,354 kes (2017) dan 1,151 kes (2018).
Senario semasa memperlihatkan sebilangan besar pekerja di organisasi masing-masing telah diarah untuk bekerja dari rumah (WFH). Ini bermakna pekerja tidak berada di pejabat secara fizikal tetapi perlu bekerja dari rumah dalam menyempurnakan segala tugasan.
Dengan fenomena sekarang, persoalannya adakah menjadi tanggungjawab majikan untuk memastikan persekitaran rumah pekerja atau lokasi di mana pekerja berada untuk melaksanakan WFH itu telah mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa?
Kewajipan undang-undang di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994) menuntut majikan untuk membuat pengadaan dan penyenggaraan persekitaran pekerjaan bagi pekerja-pekerjanya, setakat yang praktik, selamat tanpa risiko kepada kesihatan dan memadai berkaitan dengan kemudahan bagi kebajikan mereka yang sedang bekerja.
Secara jelas, fenomena bekerja dari rumah ini tetap menghendaki majikan dan pekerja meneruskan kewajipan utamanya dalam pengurusan ergonomik. Langkah pengurusan termasuklah mengenal pasti faktor risiko ergonomik, membuat penaksiran risiko ergonomik (merangkumi Initial and Advanced Ergonomics Risk Assessment) dan kemudian melaksanakan langkah kawalan bersesuaian untuk mengurangkan risiko ergonomik semasa bekerja.
Selain majikan, pekerja juga mempunyai kewajipan di bawah AKKP 1994 untuk bekerjasama dengan majikannya dalam menunaikan kewajipan di bawah Akta; juga untuk mematuhi apa jua arahan atau langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang diperkenalkan oleh majikannya.
Ini bermakna majikan hendaklah mengeluarkan prosedur kerja selamat contohnya berkaitan aktiviti yang membabitkan duduk dan berdiri sewaktu bekerja, penggunaan unit paparan video (VDU), seterusnya penilaian risiko ergonomik walaupun pekerja berada di rumah.
Tindakan proaktif yang perlu diambil oleh majikan adalah dengan meminta pekerja memulakan penilaian risiko ergonomik secara kendiri (self-assessment) yang mana pekerja kemudiannya boleh melaporkan kepada pihak pengurusan organisasi atau jawatankuasa keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja masing-masing, sebarang aduan berkaitan faktor risiko ergonomik yang dialami.
Pekerja boleh menggunakan borang penilaian kendiri yang disediakan oleh pihak majikan, sebagai contoh, borang yang dilampirkan dalam Garis Panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) iaitu Guidelines on Ergonomics Risk Assessment At Workplace 2017.
Majikan boleh menggunapakai semua borang yang dilampirkan dalam Garis Panduan ini untuk memantau kondisi pekerja mereka, termasuklah Self-Assessment Musculoskeletal Pain/Discomfort Survey Form, Ergonomics and Musculoskeletal Pain/Discomfort Complaint Form, Cornell Musculoskeletal and Hand Discomfort Questionnaires dan juga Postural Assessment-Rapid Upper Limb Assessment (RULA).
Bagi kedua-dua pihak (majikan dan pekerja), kesedaran tentang keperluan undang-undang yang menuntut majikan melaksanakan kewajipan ini dengan kerjasama daripada pihak pekerja tentulah sangat signifikan kerana pekerja yang dikehendaki bekerja dari rumah semestinya berada dalam pelbagai situasi dan tidak semua pekerja mempunyai ruang, kelengkapan dan alatan pejabat sesuai bagi kerja seharian yang perlu disempurnakan dari rumah.
Dengan ini, pihak majikan hendaklah memasukkan arahan penting dalam prosedur kerja selamat yang dikeluarkan kepada pekerja dan boleh merujuk kepada kandungan Garis Panduan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melibatkan Duduk Sewaktu Bekerja, 2003, Garis Panduan bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melibatkan Berdiri Sewaktu Bekerja, 2002 dan Garis Panduan bagi Keselamatan and Kesihatan Pekerjaan yang VDU, 2003.
Garis Panduan ini sangat berguna bagi diri pekerja sendiri dalam mendalami proses kerja dan kepentingan mengurus secara kendiri (self-assessment) risiko ergonomik semasa bekerja dari rumah. Kesan jangka panjang boleh menjadi serius jika langkah kawalan bersesuaian untuk mengurangkan risiko tersebut tidak diambil dengan segera.
Jelas, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang bertujuan menggalakkan suatu persekitaran pekerjaan sesuai bagi keperluan fisiologi dan psikologi orang sedang bekerja menghendaki majikan mengadakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan sebagaimana perlu untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan serta kesihatan pekerjanya yang sedang bekerja, termasuk pekerja yang bekerja dari rumah.
* Penulis ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
#ergonomik
#sistem kerja
#majikan
#bekerja di rumah
#WFH
#msd's
#penyakit
#COVID-19
#gangguan fungsi sendi
#perkeso
#Pekerja