ERC sokong debat antara calon pilihan raya diadakan
Rahimah Abdullah
Februari 21, 2019 17:43 MYT
Februari 21, 2019 17:43 MYT
Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) menyokong usaha menganjurkan debat antara calon pilihan raya dan disiarkan di saluran media.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjelaskan, langkah itu sebagai salah satu usaha demokrasi dan membolehkan calon memperlihatkan kebolehan masing-masing kepada rakyat.
Malah, beliau berkata, debat antara calon biasa dilakukan negara maju.
Bagaimanapun, usaha berkenaan hanya dapat dilakukan jika mendapat kerjasama calon bertanding pilihan raya.
"Ada cadangan yang mahu supaya mulai sekarang, calon mesti ada debat antara calon depan skrin atau melalui saluran media supaya kita boleh lihat kebolehan calon untuk suara pendapat.
"Debat itu bagus, ia biasa dilakukan di negara maju. Namun, kalau ada pihak tawarkan debat, takut ada yang tarik diri. Contoh PRK Cameron Highlands saya tengok sudah buat debat. Kalau boleh kita mahu semua media anjurkan juga," katanya dalam satu sidang media di sini pada Khamis.
Astro AWANI adalah media yang terawal menganjurkan debat antara calon pilihan raya dan disiarkan di saluran televisyen serta media sosial.
Paling terbaharu ialah debat antara tiga calon PRK Cameron Highlands yang disiarkan secara langsung di saluran 501 Astro AWANI .