Eratkan hubungan dua hala, bawa pulang rakyat Malaysia antara pencapaian Wisma Putra
Firdaus Azil
Jun 18, 2020 16:22 MYT
Jun 18, 2020 16:22 MYT
Mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia dengan beberapa negara, serta memudahcara urusan pulang 20,000 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat COVID-19, merupakan antara pencapaian penting Wisma Putra dalam tempoh 100 hari.
Dalam kenyataan hari ini, Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau akan terus memastikan kementerian terus memainkan peranan yang penting dalam agenda negara.
“Dalam tempoh 100 hari saya di Wisma Putra, antara perkara yang saya amat bersyukur ialah berjaya mengeratkan semula hubungan dua hala Malaysia dengan beberapa negara terutama Arab Saudi, UAE, India dan China. Selain itu, Wisma Putra juga berjaya memudahcara urusan pulang lebih 20,000 rakyat kita yang terkandas di 73 negara.
“Malah, saya secara peribadi sedang berusaha memposisikan Wisma Putra dan warganya sebagai pihak yang penting kepada agenda negara. Kalau dahulu, warga Wisma Putra diiktiraf, di bawah kepimpinan saya, saya mahu mereka lebih diiktiraf,” katanya lagi.
Dalam kenyataan itu, Wisma Putra berkata, biarpun lawatan rasmi ke luar negara ditangguhkan ekoran Covid-19, namun kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk berkaitan Covid-19 antara Malaysia dengan banyak negara tetap dapat diperhalusi.
Perkara itu, jelasnya lagi, dilakukan menerusi sidang video Hishammuddin dengan rakan sejawat serta kunjungan hormat Duta Negara ke Wisma Putra.
Turut tercatat sebagai antara pencapaian kementerian, ialah kejayaan mengumpul lebih 300,000 peralatan
perubatan, menerusi inisiatif Malaysia’s Diplomatic Equipment Stockpile, untuk petugas barisan hadapan Wisma Putra.
Kejayaan itu sekali gus memastikan petugas barisan hadapan tidak perlu menggunakan peralatan perubatan kerajaan khusus untuk Kementerian Kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan rakyat.
Selain itu, sembilan juta peralatan perubatan juga berjaya diperoleh dengan percuma hasil penghormatan dan keakraban Wisma Putra dengan negara-negara luar.
Selain itu, Wisma Putra berkata, ia juga berjaya memastikan peranan Malaysia dalam pertubuhan antarabangsa terus diperkukuhkan, serta agenda memartabatkan Malaysia sebagai negara Islam yang dihormati dunia.
#Angkatan Tentera Malaysia
#COVID-19
#Hishammuddin Hussein
#Islam
#kesihatan
#pencapaian 100 hari
#perubatan
#Polis Diraja Malaysia
#rakyat
#rakyat Malaysia
#tentera
#Wisma Putra