'Equanimity' hanya langkah populis PH' - Najib

Firdaus Azil
Ogos 7, 2018 17:50 MYT
NAJIB: Nilai daripada penyelesaian hutang dengan IPIC jauh lebih tinggi berbanding Equanimity. - Astro AWANI/Fail
Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini tidak berminat untuk mendapatkan kembali kapal layar mewah 'Equanimity' kerana ia lebih memberi tumpuan kepada penyelesaian hutang dengan firma berpangkalan di UAE, iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu berkata, Pakatan Harapan cuba menjadikan Equanimity sebagai langkah populis untuk mendapat kelebihan dari segi politik.
"Nilai daripada penyelesaian hutang dengan IPIC jauh lebih tinggi berbanding Equanimity. Tetapi kapal itu hanya digunakan sekali lagi sebagai langkah populis.
"Anda boleh mendapat lebih banyak melalui penyelesaian dengan UAE dan IPIC, berbanding tindakan kononnya untuk membuka pembidaan terbuka bagi kapal layar itu," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.
Najib berkata, bekas setiausaha politik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Matthias Chang sendiri turut mempersoalkan sama ada tindakan membawa kembali Equanimity ke perairan Malaysia itu sah di sisi undang-undang.
BACA: 'Equanimity' disita ikut undang-undang - AG
Terdahulu, kapal 'Equanimity' tiba di Terminal Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang sekitar jam 12.25 tengah hari tadi.
Kapal tersebut yang dipercayai milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, tiba selepas berlepas dari Pelabuhan Batam petang semalam.
Kapal mewah itu, yang dianggarkan bernilai RM1 bilion, dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
BACA: Equanimity mungkin dijual - Guan Eng
Mengenai langkah kerajaan untuk membuka bidaan awam terhadap kapal itu, Najib berkata, tidak ramai orang mampu membeli aset semahal itu dan sudah pasti nilainya pun akan menyusut.
Bagaimanapun, ujarnya lagi, pemilik sebenar kapal persiaran itu harus tampil bagi membantu sebarang siasatan berkaitan.
#1MDB #Equanimity #International Petroleum Investment Company #IPIC #kapal layar #kapal mewah #Najib Razak
;