Equanimity: Enam hingga sembilan bulan kenal pasti pemilik sebenar

Bernama
Ogos 7, 2018 19:43 MYT
Kapal mewah 'Equanimity' milik ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low tiba di Terminal Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang hari ini. - fotoBERNAMA
Siasatan untuk mengenal pasti pemilik sebenar kapal ‘Equanimity’ akan mengambil masa selama enam hingga sembilan bulan, kata wakil peguam kepada kerajaan Jeremy Joseph.
Beliau berkata proses berkenaan boleh dipercepatkan sekiranya tiada pengakuan pemilikan ke atas kapal itu.

“Perintah untuk penyitaan kapal itu telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

“Minggu hadapan, pasukan peguam yang dilantik kerajaan akan kembali ke mahkamah untuk mendapatkan arahan seterusnya untuk mengenal pasti pemilik kapal ini,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas kapal itu.

Jeremy berkata pada hari ini pasukan yang mewakili kerajaan ke atas ‘Equanimity’ hanya membuat pemeriksaan ke atas kapal berkenaan sebaik saja ia berlabuh di Terminal Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

Seorang lagi peguam yang mewakili kerajaan, Sitpah Selvaratnam berkata siasatan di atas kapal mewah ‘Equanimity’ mendapati keadaan di atas kapal itu berada dalam keadaan baik.

“Siasatan selama dua jam mendapati 17 kru termasuk seorang kapten kapal berada dalam keadaan baik.

“Apa yang kami lakukan pada hari ini secara asasnya ialah memberikan waran kepada kapten kapal dan itu yang telah dilakukan,” katanya.

Sitpah berkata matlamat utama sekarang adalah untuk memastikan kapal berkenaan dapat diselenggara dan tugas itu akan dilakukan kru kapal.

Beliau turut menjelaskan kesemua kru kapal berkenaan, yang menurutnya adalah kru yang baharu bertugas sejak tiga tahun lalu dibenarkan untuk turun dari kapal yang memerlukan kos selenggaraan RM3 juta sebulan.

Kapal mewah itu yang dianggarkan bernilai RM1 bilion dipercayai sebahagian daripada aset yang dibeli menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pihak berkuasa antarabangsa masih memburu pemilik kapal itu dipercayai ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana 1MDB.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengucapkan terima kasih kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan kerajaan negara itu atas bantuan mereka dalam menyerahkan ‘Equanimity’ yang dirampas pihak berkuasa republik itu, kepada Malaysia.

Kapal itu disita di Bali pada Februari atas permintaan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) namun pada April mahkamah Indonesia memutuskan pihak Indonesia tidak boleh bertindak sedemikian dan kapal itu perlu dikembalikan kepada pemiliknya.

Bagaimanapun, kerajaan Indonesia merampasnya sekali lagi pada Julai.

#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Bali #Equanimity #Indonesia #Jabatan Keadilan Amerika Syarikat #Jho Low #Jokowi #kapal mewah #kerajaan #Kuala Lumpur #Mahathir Mohamad #mahkamah
;