Epy Raja Lawak nikahi guru tuisyen

Adie Sufian Zulkefli
Jun 3, 2020 17:21 MYT
Epy Raja Lawak menikahi Siti Rahayu Omar dalam majlis akad nikah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kubang Pasu, Kedah pada Rabu. - Gambar Astro AWANI
Mengenali antara satu sama lain sejak zaman kanak-kanak lagi, Muhammad Hanafi Rusmadi ,atau lebih dikenali Epy Kodiang sepakat dengan Siti Rahayu Omar mengakhiri perkenalan berdekad lamanya itu dengan ikatan pernikahan.
Apa yang istimewanya, Epy yang pernah membina nama menerusi program Raja Lawak terbita Astro dan Siti Rahayu dinikahkan ketika negara masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Tak sangka 'cinta monyet' kami pada zaman sekolah menengah kembali bertaut dan akhirnya disatukan hari ini walaupun dalam PKPB," itu reaksi Epy yang ditemui selepas majlis pernikahannya, di sini pada Rabu.

Epy dan Siti Rahayu kedua-duanya berusia 28 tahun sudah muola kenal sejak kecil lagi.

Kata pelakon dan pelawak ini, cinta mereka kembali bertaut pada April tahun lalu ketika dia pergi mengambil tempahan sandwich di rumah Siti Rahayu.

"Kami satu sekolah daripada sekolah rendah sampai sekolah menengah... kawan satu sekolah, satu kelas. Dulu dah bercinta lepas itu masing masing bawa haluan sendiri," cerita Epy mengenai titik permulaan hubungan dia dan isterinya itu.
Bagaimanapun, dua tahun lalu ketika Epy membeli kuih jualan Siti Rahayu, cinta mereka kembali berputik.
Berbeza dengan percintaan di zaman persekolahan dengan Siti Rahayu yang disifatkannya sebagai 'cinta monyet', perasaan kasih dan sayang dengan pasangan itu pada usia mereka yang sudah dewasa lebih realisitik.
"Masa beli sandwic dengan dia (isteri) baru bercinta balik, berputik pada awal tahun lepas," kata Epy lagi.
Epy yang memulakan kerjayanya sebagai peserta program Raja Lawak pada 2011 berkata, walaupun sedih tidak dapat melangsungkan perkahwinan seperti orang lain, namun dia bersyukur kerana dapat bernikah dengan majlis yang lebih mudah, ringkas dan menjimatkan kos.

Bagi Siti Rahayu pula, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dan gembira kerana bergelar isteri kepada Epy dengan sekali lafaz.

Kata Siti Rahayu, dia dan Epy masih menyimpan hasrat untuk mengadakan majlis kenduri perkahwinan mereka selepas PKPB berakhir, namun, konsepnya sederhana sahaja.

Epy dan Siti Rahayu merupakan antara 17 pasangan yang dinikahkan hari ini di Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu hari ini.

Selain mereka, tiga beradik dari Tunjang, Jitra, Mohamad Helmi Mohd Nasir, 29, Mohamad Hafiz, 26, dan Solehah, 23, turut memilih untuk dinikahkan dalam tempoh PKPB.

Kesemua pengantin baharu itu dinikahkan oleh wali masing-masing di hadapan Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu Syeikh Ahmad Muzammil Yub disaksikan dua kakitangan pejabat agama berkenaan.

Solehah yang memilih anggota tentera sebagai pasangan hidup berkata, sepatutnya mereka mengadakan kenduri pada Ahad lalu namun kerana tidak mendapat pelepasan kerana PKPB terpaksa ditangguhkan.

"Kami dah beli doorgift (cenderamata), tempah pelamin, katering, lembu seekor dah booking (tempah)... ingat nak buat kenduri tapi dah tak dapat kita redha sajalah nak buat macam mana, Allah dah tentukan," kata Solehah.
Untuk rekod, hampir 100 pasangan telah dinikahkan Majlis Agama Kubang Pasu sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

#Epy Raja Lawak #Kedah #Kubang Pasu #pengantin baharu #perintah kawalan pergerakan bersyarat #Siti Rahayu Omar
;