'Episod paling sukar dalam sejarah politik urus pandemik COVID-19' - Muhyiddin
Bernama
November 26, 2021 22:02 MYT
November 26, 2021 22:02 MYT
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan memegang tampuk pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri dalam tempoh pandemik COVID-19, merupakan suatu episod yang paling sukar dalam sejarah hampir 50 tahun kerjaya politiknya.
Muhyiddin berkata beliau telah diberikan amanah yang besar untuk mengemudi negara dalam waktu pandemik yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan dunia.
"...dan ini merupakan krisis yang kita tahu yang mengancam nyawa dan kehidupan rakyat pada skala yang amat besar, dan berlarutan untuk suatu tempoh yang panjang sampailah ke saat ini," katanya ketika merasmikan pelancaran buku Biografi Bergambarnya yang bertajuk "Abah Teguh Kita Bersama" di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara berkata beliau dan rakan-rakan Kabinet pada waktu itu, telah cuba melakukan yang terbaik dengan memberikan keutamaan kepada usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat dan melindungi kehidupan mereka.
"Saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara hampir setiap hari dan pada masa sama juga menguruskan hal-hal berkaitan COVID-19, siang malam, untuk mendapat laporan terkini daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan sebagainya.
"Saya sedih apabila yang terkini masih ada yang terkesan dan meninggal dunia disebabkan wabak COVID-19 yang masih belum selesai, apatah lagi ada ribuan orang yang tidak mendapat peluang pekerjaan dan hidup susah," katanya sambil menyifatkan pengalaman itu tidak akan dilupakan dalam hidupnya menguruskan pandemik COVID-19, ketika dilantik menjadi Perdana Menteri pada 29 Feb 2020.
Dalam pada itu, Buku Biografi Bergambar "Abah Teguh Kita Bersama" setebal 248 muka surat, memaparkan koleksi 370 foto mengisahkan perjalanan Muhyiddin dalam pentadbiran kerajaan dan politik, bermula sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada 1970, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar Johor.
Selain itu turut dipaparkan ketika beliau menerajui enam kementerian dalam kerajaan Persekutuan dan Timbalan Perdana Menteri, serta sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan dan berpeluang berkhidmat di bawah tujuh perdana menteri sebelum ini.
Ia diterbitkan dengan kerjasama Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka, Ummah Aid Foundation dan Zumail Global Sdn Bhd, dengan sebanyak 15,000 naskah pertama sudah sedia untuk dijual dengan harga RM250 senaskah.
-- BERNAMA