Enjin rosak, empat kru nekad terjun laut ditemui terdampar

Sinar Harian
Ogos 16, 2023 06:15 MYT
Empat kru warga Indonesia nekad terjun laut setelah kapal dinaiki mengalami kerosakan sebelum ditemui terdampar di pantai Pulau Pemanggil perairan Mersing pada Isnin. - Foto Maritim Mersing
MERSING: Empat lelaki warga Indonesia nekad terjun ke laut demi menyelamatkan diri selepas kapal dinaiki mereka hanyut beberapa hari akibat mengalami kerosakan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pihak Maritim Negeri Johor menerima maklumat berhubung perkara berkenaan hasil aduan awam yang mengatakan terdapat sebuah kapal mencurigakan hanyut berhampiran Pulau Pemanggil, perairan Mersing.
Katanya, setelah menerima aduan tersebut, pihak Maritim Malaysia segera mengkoordinasikan bantuan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) dengan mengarahkan bot ronda Maritim Malaysia ke lokasi.
"Setelah maklumat berkenaan disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Mersing, sebuah bot ronda Maritim Malaysia, Perkasa 44, yang sedang melakukan rondaan telah diarahkan untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan di lokasi.
"Dalam masa sama, satu laporan polis dibuat penduduk Pulau Pemanggil apabila seramai empat individu tidak dikenali, terdampar di pantai pulau berkenaan.
"Mangsa yang terselamat memberitahu mereka nekad terjun ke laut bagi menyelamatkan diri daripada kapal bermuatan kargo itu dan berenang ke daratan terhampir (Pulau Pemanggil) kerana bimbang kejadian lebih buruk akan berlaku," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Hasil maklumat, kapal tersebut dipercayai mulai hanyut sekitar 6 petang 12 Ogos lalu di perairan Tanjung Pinang Indonesia, kerana mengalami kerosakan pada enjin.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka hanyut dari perairan Tanjung Pinang Indonesia hingga empat batu nautika barat Pulau Pemanggil di sini pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa memberitahu bahawa keputusan untuk terjun menyelamatkan diri adalah kerana kapal yang dinaiki telah hanyut selama beberapa hari dalam keadaan cuaca buruk dan ombak kuat tanpa sebarang bantuan dan komunikasi setelah terputus hubungan.
Kesemua mangsa telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Mersing dan diserahkan kepada pihak Zon Maritim Mersing bagi tindakan selanjutnya.
Kesemua mangsa yang dikenali sebagai Darman, 42; Murhairi, 57; Agus Mustafa, 25; dan Suhandri, 22; dalam keadaan sihat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Kesemua mangsa akan dihantar pulang ke jeti asal di Tanjung Pinang, Indonesia apabila proses dokumentasi dengan pihak kedutaan Indonesia dan proses baik pulih enjin kapal KLM Jaya Makmur 88 selesai dilakukan. - Sinar Harian
#warga asing #kapal hanyut #terdampar #Pulau Pemanggil
;