Enggan tarik balik gelaran 'bodoh', Lim Lip Eng diarah keluar Dewan, digantung 5 hari
Nailah Huda
November 12, 2020 12:32 MYT
November 12, 2020 12:32 MYT
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memerintahkan Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng keluar Dewan pagi ini dan melarang beliau menghadiri persidangan selama lima hari.
Tindakan itu diambil Speaker kerana Lim berkeras mempertikai keputusan Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said yang tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing semalam.
Lim juga menyifatkan keputusan dibuat Azalina sebagai 'bodoh' kerana tidak bertindak ke atas Tiong yang mengkritik Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Terdahulu, kekecohan tercetus selepas Azhar menjelaskan arahan yang dikeluarkan Azalina semalam tidak boleh ditarik balik.
"Saya telah membaca Hansard pagi tadi tentang apa yang berlaku semalam. Saya berpendapat retorika perbahasan perlu dikawal.
"Saya dapati bahawa Timbalan Speaker sudah buat ruling. Apabila ruling dibuat, di bawah Aturan 43, ruling itu final, muktamad. Maka, saya tak mempunyai kuasa untuk revisit ruling yang telah dibuat," jelas Azhar.
"Tetapi itu ruling bodoh," kata Lim.
Azhar turut berulang kali memberi amaran akan menghubungi pihak polis apabila kekecohan tercetus manakala Lim bertegas enggan menarik balik komen tersebut.
Suasana persidangan bertukar riuh dan beberapa Ahli Parlimen turut serta bertikam lidah.
Apabila diarah meninggalkan Dewan, Lim pula menghangatkan lagi situasi dan mencabar supaya Speaker Dewan Rakyat yang keluar.
Susulan itu, arahan terhadap Lim yang pada awalnya ditetapkan selama dua hari dilanjutkan ke lima hari.
Semalam, Ahli Parlimen Jelutong SN Rayer diperintah keluar oleh Azalina selepas beliau mendesak supaya Tiong menarik balik komennya.
Tiong ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 mendakwa Dr Noor Hisham tidak turun ke Sabah ketika kes COVID-19 meningkat kerana "takut mati".
#Parlimen
#Dewan Rakyat
#Azalina Othman
#Noor Hisham Abdullah
#Azhar Azizan Harun
#kepong
#Lim Lip Eng
#KKM
#SN Rayer
#Jelutong
#parlimen kecoh