Enggan susahkan sesiapa, keluarga penuhi wasiat Benjy minta kebumi di Medan

Harits Asyraf Hasnan
Julai 11, 2021 16:04 MYT
Inessa Irdayanty berkata abangnya yang mesra dipanggil Ben tidak mahu ahli keluarga atau mana-mana individu berdepan kesulitan untuk membawa jenazahnya pulang ke tanah air.
KUALA LUMPUR: Pelakon Benjy Ibrahim telah meninggalkan wasiat kepada ahli keluarganya untuk dia dikebumikan di Medan, Indonesia sekiranya dijemput Ilahi di negara seberang itu.
Berkongsi cerita dengan Astro AWANI, adik Allahyarham Benjy, Inessa Irdayanty berkata, abangnya yang mesra dipanggil Ben tidak mahu ahli keluarga atau mana-mana individu berdepan kesulitan untuk membawa jenazahnya pulang ke tanah air.
"Sejak dahulu lagi, sebelum COVID-19 bermula lagi, Ben sudah lama pesan, kalau apa-apa jadi dekat kepada dia di sana, tak perlu bawa balik jenazah ke Malaysia. Dia minta sedekahkan Al-Fatihah, biar kebumi di sana.
"Jadi dia (Benjy) memang wasiatkan dekat kami sejak dari dahulu lagi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Menjelaskan situasi selepas dimaklumkan berkenaan pemergian abangnya itu, Inessa berkata, mereka sekeluarga masih lagi berbincang sebelum membuat kata putus berkenaan proses pengurusan jenazah Benjy.
"Selain wasiat yang ditinggalkan Allahyarham, perkara kedua yang kami pertimbangkan adalah untuk menyegerakan urusan jenazah secepat mungkin.
"Kami juga tidak mahu melewat-lewatkan proses pengebumian kerana kita tidak mahu apa-apa komplikasi seperti kelewatan dan sebagainya sekiranya kami ingin bawa pulang jenazah (ke Malaysia)," katanya.
Benjy yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada Ahad akibat penyakit asma.
Berita pemergian Benjy itu dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi kepada Astro AWANI.
#Benjy #Benjy Ibrahim #meninggal dunia #takziah #COVID-19 #pengebumian
;