Enggan sentuh botol arak: 'Penghinaan terhadap gadis itu sangat biadab'
Sinar Harian
Oktober 7, 2018 22:24 MYT
Oktober 7, 2018 22:24 MYT
Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin menggesa umat Islam berusaha mengambil gadis yang enggan memegang botol arak dalam satu insiden di kaunter sebuah kedai serbaneka, untuk bekerja di tempat yang halal dan baik.
Katanya, ini sebagai tanda penghargaan terhadap sikap mulia gadis Melayu berkenaan.
Dalam pada itu, Asri berkata sendiri secara peribadi ingin bertemu dengannya.
"Saya menonton video penghinaan seorang lelaki terhadap gadis muslimah yang enggan memegang arak," katanya dalam perkongsian di Facebooknya.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung penularan kisah di media sosial, mengenai seorang juruwang yang enggan memegang botol arak ketika sesi pembayaran dibuat di kaunter sebuah kedai serbaneka di Johor Bharu.
Tindakan juruwang itu menimbulkan rasa tidak senang kepada pembeli arak berkenaan.
Dengan alasan ianya haram dan dalam keadaan berwuduk, juruwang yang merupakan seorang gadis Melayu itu menolak untuk memegang botol arak tersebut.
Mengulas lanjut insiden berkenaan, Asri berkata, arak hanya sepatutnya dijual di kedai atau bahagian yang khusus untuk pelanggan yang agama mereka tidak melarangnya.
"Membenarkan arak dijual di premis yang bercampur memberi kesukaran kepada pihak lain khususnya Muslim," katanya.
Katanya, Muslim sepatutnya tidak dibenarkan untuk menjaga kaunter jualan yang membabitkan arak.
"Ini kerana Islam menganggap arak merosak akal dan jiwa maka tidak wajar untuk individu Muslim yang baik memberikan bahan yang merosakkan kepada pihak lain.
"Memegang bekas arak tidak membatalkan wuduk tapi menjualnya satu dosa. Mungkin gadis berkenaan mencari alasan yang dirasakan dapat diterima semasa itu," katanya.
Jelasnya, kesilapan gadis berkenaan ialah kerana dia bekerja di premis yang menjual arak.
Namun, katanya, kita tidak tahu keadaan sebenar kehidupan gadis berkenaan. Apa yang pasti dia cuba sedaya dirinya untuk mengelakkan perkara yang haram tersebut.
"Lelaki pelanggan berkenaan berhak untuk komplen kepada manager jika dia mahu.
"Namun, cara yang beliau lakukan iaitu merakam dan menghina gadis yang masih muda tersebut merupakan satu kebiadaban yang amat. Sedangkan gadis itu bercakap dengan baik," katanya.
Jelasnya, orang seperti itu tidak layak untuk berada dalam negara yang berbilang kepercayaan dan pegangan.
"Di Malaysia kita memilih jalan yang harmoni. Jangan pula suasana baik ini dicemar dengan kebiadaban ini," katanya.
Jelasnya, sikap biadab lelaki itu sebenarnya mewakili sejumlah golongan sepertinya dalam negara ini yang menyimpan sikap anti amalan agama masyarakat Muslim.
Katanya, hal ini makin berkembang dari hari ke hari.
"Masyarakat Muslim hendaklah sedar tentang perkembangan yang tidak baik ini. Satu persidangan khas perlu diadakan dalam membincangkan fenomena ini. Kita mahu negara yang aman untuk semua pihak," katanya.
#botol arak
#Dr Asri Zainul Abidin
#Halal
#haram
#Islam
#kedai serbanika
#Malaysia
#media sosial
#Mufti Perlis
#video