Enggan guna e-hailing - sikap negatif jadi punca - Aslah
Arief Subhan
Ogos 4, 2017 16:57 MYT
Ogos 4, 2017 16:57 MYT
Sikap negatif pemandu teksi dilihat sebagai punca sebenar pemandu teksi enggan beralih ke sistem 'e-hailing', bukannya berkaitan faktor usia atau kerana tidak celik teknologi maklumat atau 'buta IT'.
Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah, percaya keadaan tersebut menyebabkan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berdepan cabaran dalam usaha menggalakkan pemandu teksi menggunakan aplikasi mudah alih telefon pintar itu.
"Sikap segelintir pemandu ini memang tidak baik. Ada antara mereka yang lebih suka menerima wang kertas kerana ia memudahkan urusan.
"Dalam erti kata lain, transaksi itu boleh dilebihkan tanpa dikesan," kata Aslah dengan nada kecewa kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
"Sekiranya kita pakai aplikasi kad kredit, 'cash card' dan sebagainya, kita dapat mengawal dan memantau pergerakan wang atau 'cash flow' mereka," tambahnya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri di Dewan Rakyat pada Khamis mengenai keengganan segelintir pemandu teksi menggunakan sistem 'e-hailing'.
"Ada yang tidak berani, atau mungkin mereka tidak begitu 'IT-savvy' dan tidak mengguna e-hailing. Dan ada sebab usia, dan ada yang rasa, siapa guna e-hailing, itu adalah pesaing pada mereka," katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.
Sementara itu, Pengerusi Pemandu Grab, Uber dan Zepp On, Syed Rosli Syed Harman, berkata pemandu teksi seharusnya tidak 'ditelan zaman' jika mereka ingin mendapat sambutan lebih baik daripada pengguna kenderaan awam.
"Saya tidak rasa ia berkaitan masalah usia. Sebab, banyak saya lihat, ada pemandu teksi berumur yang berhijrah ke e-hailing," ujarnya.
"Mereka terpaksa berhijrah kerana sambutan terhadap pemandu teksi amat menurun, dan pendapatan mereka berkurang kerana itu," tambah Syed Rosli.
Ketika ini, menurut Nancy, kira-kira 14,000 pemandu teksi menggunakan sistem 'e-hailing' dan bilangan itu dijangka meningkat pada masa akan datang.