Enggan 'buka pintu' punca kes denggi tinggi di KL, kata Datuk Bandar

Wan Syamsul Amly
Mac 6, 2014 18:43 MYT
Keengganan warga kota memberi kebenaran kepada penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semasa membuat pemeriksaan nyamuk Aedes disifatkan faktor utama peningkatan kes denggi terutama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ia dikesan terutama pada penghuni rumah bertingkat seperti apartment dan kondominium.
"Masalah utama di Kuala Lumpur ialah pihak pengurusan apartmen adakalanya tidak membenarkan pihak penguasa untuk membuat pemeriksaan sedangkan punca utamanya datang dari situ.
‎"Ia menyukarkan usaha kita untuk menurunkan peratusan penyumbang kedua tertinggi kes denggi pada 2013.
"Ini masalah Kuala Lumpur, punca masalah ini adalah pasu bunga, takungan air, pam najis dan lokasi di apartment. Jika tiada kebenaran (untuk buat pemeriksaan), isu ini seolah tiada kesudahannya," katanya dalam satu pertemuan dengan Astro AWANI di pejabatnya di Menara DBKL.
Tahun lalu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi denggi‎ negara selepas Selangor.
Menurut Ahmad Phesal, DBKL sentiasa memantau isu denggi dan berusaha melakukan yang terbaik untuk warga kota demi memastikan masalah itu dapat dibendung.
##Cukupsetakatsamson #DBKL #denggi
;