Enggan bayar, Pulau Pinang akan pam air selut Sungai Muda - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Mac 17, 2021 16:29 MYT
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (kiri) mengadakan sidang media selepas Mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Yan hari ini. - Foto BERNAMA
YAN: Pulau Pinang berkemungkinan akan mengepam air selut dari Sungai Muda pada masa akan datang sekiranya masih bertegas enggan membayar pampasan caj bekalan air kepada Kedah.
Itu amaran keras Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memandangkan terdapat beberapa projek yang berada dalam perancangan kerajaan negeri itu, yang mana akan memberikan kesan besar kepada aliran air Sungai Muda.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga bersedia untuk membawa pertikaian berkaitan kes berkenaan ke mahkamah.
Bagaimanapun, pihaknya akan merujuk kepada Kerajaan Pusat dalam membentuk satu rundingan khususnya bagi menyelesaikan kemelut yang membabitkan kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang.
BACA: Hak riparian: Pulau Pinang hanya layak guna 5 peratus air Sungai Muda - Sanusi
"Proses mungkin (akan) sampai ke peringkat itu (mahkamah) tetapi saya mungkin akan mohon kerjasama dari Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk mengadakan proses timbang tara (rundingan) untuk mengatasi hal itu.
"Kalau timbang tara itu tidak dapat dijayakan mungkin proses seterusnya akan ke mahkamah, dan saya akan pergi ke hujung dunia untuk pertahankan hak ini," tegasnya.
Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Pejabat Daerah Yan, pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air dari Sungai Muda, Kedah, dan sebaliknya memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah.
Kon Yeow berkata, isu tersebut sering dibangkitkan Sanusi sebelum ini dan beliau sendiri sudah menyatakan kesediaannya untuk bersemuka di mahkamah sekiranya kerajaan Kedah mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada perkembangan lanjut dan beliau terkejut apabila isu tersebut dibangkitkan sekali lagi terutama selepas Sanusi menyatakan Pulau Pinang hanya layak menggunakan lima peratus sahaja air dari Sungai Muda.
#pulau pinang #Kedah #isu air #Sungai Muda #hak riparian #Menteri Besar Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #KASA #air selut #Chow Kon Yeow
;