'Energy Stick' tidak berdaftar dengan PBKD, individu jual dan promosi boleh didenda - KKM

Afiezy Azaman
Februari 8, 2024 11:40 MYT
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk penyedut hidung atau dikenali sebagai 'Energy Stick' bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk penyedut hidung atau dikenali sebagai 'Energy Stick' bukan keluaran berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Sehubungan itu, KKM akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap penjual yang dikesan menjual produk tersebut.
"Hasil saringan awal di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara.
"KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk tersebut diturunkan.
"Penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar
Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," kata KKM dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, KKM memberi peringatan, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Jelas KKM lagi, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
"Pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat Hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk tersebut.
"Status pendaftaran produk boleh disemak dengan melayari laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan “Product Status” ATAU dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan 1- 800-88-6722.
"Selain itu, orang ramai boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan tersebut," ujar kementerian itu lagi.
KKM turut berikar komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang
awam melalui pemantauan secara berterusan.
Dalam masa sama, KKM menyarankan orang ramai untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat mengenai penjualan produk-produk tidak berdaftar kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM.
"Ini boleh dilakukan melalui laman sesawang https://www.pharmacy.gov.my atau melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my.
"Laporan juga boleh dibuat di Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran," kata KKM lagi.
#energy stick #penyedut hidung #Kementerian Kesihatan #Pihak Berkuasa Kawalan Dadah
;