Enam warga Nepal dijadikan buruh paksa diselamatkan

Hilmi Malik
Oktober 30, 2020 20:58 MYT
KHAIRUL DZAIMEE: Hasil temubual bersama mangsa mendapati mereka kini tidak bekerja dan tidak diberi gaji selama tempoh enam bulan selain pihak majikan mengabaikan mereka. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Enam lelaki warganegara Nepal berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) daripada menjadi mangsa eksploitasi sebagai buruh paksa oleh sebuah syarikat pengawal keselamatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua mangsa diselamatkan dalam satu operasi oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA pada 27 Oktober lalu di Petaling Jaya.
“Hasil pemeriksaan terhadap premis kediaman yang dijadikan asrama dilihat dalam keadaan daif, sempit dan tidak selesa.
“Hasil temubual bersama mangsa mendapati mereka kini tidak bekerja dan tidak diberi gaji selama tempoh enam bulan selain pihak majikan mengabaikan mereka.
“Pihak majikan tidak memberikan sebarang bantuan dan enggan menemui mangsa meskipun beberapa kali cuba dihubungi mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Jabatan Imigresen turut memeriksa pejabat majikan dan beberapa dokumen telah dirampas serta wakil syarikat dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut.
Kesemua mangsa yang diselamatkan telah dibawa menjalani saringan COVID-19 dan hasil keputusan mendapati mereka negatif oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Khairul Dzaimee, majikan dan pemilik syarikat telah dipanggil bagi memberi keterangan manakala mangsa telah ditempatkan di rumah perlindungan.
“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan juga didenda tidak lebih RM150,000,” katanya lagi.
Justeru pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan sama diminta untuk melaporkan perkara tersebut.
#Imigresen #Nepal #operasi #COVID-19 #Jabatan Imigresen Malaysia #mangsa eksploitasi #buruh paksa #syarikat pengawal keselamatan #Khairul Dzaimee Daud #Kementerian Kesihatan #KKM
;