Enam wakil media terkandas ketika membuat liputan banjir
Astro Awani
Disember 19, 2022 13:50 MYT
Disember 19, 2022 13:50 MYT
SETIU: Mengadakan liputan termasuk bencana alam seperti banjir bukanlah perkara asing bagi pengamal media khususnya di negeri Terengganu ini.
Bahkan, mencatat pengalaman mangsa-mangsa banjir yang terkandas juga sudah menjadi tugas utama wartawan.
Bagaimanapun, banjir yang melanda negeri ini pada Ahad menyebabkan enam petugas media turut menjadi 'mangsa banjir' selepas terkandas ketika membuat liputan di beberapa daerah.
Turut menjadi mangsa adalah wakil Astro AWANI Terengganu, Nur Fazlizai Ali yang tidak dapat pulang ke rumahnya selepas laluan menghala ke Kuala Terengganu dinaiki air.
Selain itu, dua jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), seorang jurufoto Utusan Malaysia, seorang jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan seorang wartawan NSTP turut mengalami detik yang sama.
Menurut Nur Fazlizai, dia bersama tiga lagi petugas media membuat liputan di daerah ini sejak pagi semalam dan sempat melakukan tinjauan mangsa banjir di beberapa kawasan yang terjejas.
Bagaimanapun, sekitar pukul 6 petang, sebaik selesai tugas dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Terengganu, dia mendapati banyak laluan mula ditutup kepada kenderaan ringan kerana ditenggelami air yang agak tinggi.
"Saya dan rakan-rakan menunggu sehingga pukul 1 pagi jika air surut boleh kami melintasinya, namun, harapan kami hampa kerana paras air masih berisiko untuk kami melaluinya.
"Jadi saya bersama tiga lagi rakan media yang lain terpaksa menuju ke pusat pemindahan sementara (PPS) Perpustakaan Awam Daerah Setiu di Bandar Permaisuri kerana kawasan ini agak tinggi," katanya.
Nur Fazlizai berkata, itu merupakan pengalaman pertamanya terkandas di kawasan banjir, namun, tidak mematahkan semangatnya untuk mendapatkan bahan berita dan situasi sebenar di lokasi kejadian.
"lni adalah sebahagian asam garam yang perlu kami lalui sebagai pengamal media. Malam tadi pun kami terpaksa tidur dalam kereta sahaja kerana PPS sudah penuh dengan mangsa banjir yang terjejas di kawasan ini," katanya.
Dua lagi pengamal media pula dilaporkan terkandas di daerah Hulu Terengganu iaitu jurufoto Utusan Malaysia, Puqtra Hairry Rosli dan jurufoto Bernama, Mohd Syafiq Ambak.
Sementara itu, wartawan NSTP, Zatul Iffah Zolkiply berkata, sebaik melihat keadaan jalan sukar dilalui dia cuba mencari hotel, rumah tumpangan atau PPS untuk bermalam namun gagal kerana semuanya telah penuh.
Katanya, mereka juga telah kehilangan punca untuk berteduh dan merehatkan badan sebelum membuat keputusan bermalam di PPS.
"Oleh kerana tiada pilihan, kami tidur sahaja dalam kereta di perkarangan PPS. Cuma agak risau kerana kami memang tidak ada bawa stok makanan lebih kerana tidak menjangka banjir di Setiu akan menjadi seteruk ini.
"Memang sayu bila lihat warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan bayi yang jadi mangsa banjir terpaksa tidur di PPS, syukurlah kerana kami hanya diuji dengan dugaan kecil terkandas,” kata Zatul Iffah.