Enam unit kedai hangus dijilat api di Kota Bharu
Muhafandi Muhamad
Mac 28, 2016 12:26 MYT
Mac 28, 2016 12:26 MYT
Enam unit kedai hangus dalam satu kebakaran pagi tadi di Jalan Taman Maju di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Azmi Osman berkata kebakaran dipercayai berlaku sekitar 8 pagi tadi melibatkan kedai barangan elektrik, mesin serta jentera, kedai perabut dan aksesori kereta.
Sejumlah 30 anggota dengan tujuh jentera terlibat dalam operasi pemadaman api yang mengambil masa 30 minit bagi mengelak api dari merebak ke premis berhampiran.
"Pada peringkat permulaan kita menghadapi masalah aliran air namun apabila kita hubungi pihak Air Kelantan, mereka telah membantu menyalurkan air bagi mengawal api dari merebak" katanya kepada Astro Awani.
Menurut beliau, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian.
Jumlah kerugian sebenar belum dapat dipastikan namun anggaran awal kerugian adalah lebih RM1 juta, katanya lagi.
Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.