Enam termasuk pegawai dan anggota polis didakwa bunuh pemandu e-hailing
Petrus Bernard
Februari 8, 2023 17:31 MYT
Februari 8, 2023 17:31 MYT
TAWAU: Enam individu termasuk pegawai dan anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret, Tawau pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pemandu e-hailing.
Tertuduh Rosdi Rastam, 44, Dennis Anak Enit, 44, Fabian Anak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan seorang orang awam Vivien Fabian, 34, didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, di Ladang Kelapa Sawit berdekatan Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, dalam daerah Tawau.
Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan jenayah itu pada 13 Januari 2023, antara jam 7.30 pagi hingga 11.30 malam.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa di mahkamah yang sama atas pertuduhan bersubahat dengan Rosdi untuk membunuh mangsa, pada hari, masa dan lokasi yang sama.
Sehubungan itu, Mat Zaki didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dihadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala tertuduh Rosdi diwakili peguam Timothy Daud dan Kamarudin Chengki, manakala tiga peguam Chen Wen Jye, Ram Singh, Kimberly Ye mewakili Khairul Azman.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 11 April 2023 dan tidak ditawarkan ikat jamin.
Pada 16 Januari lalu, mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah ladang sawit di Batu 5 Jalan Apas, Tawau, dipercayai mangsa bunuh. Turut dijumpai bersebelahan mayat mangsa dikenali sebagai Nurman Bakaratu, 61, ialah sebuah kereta Perodua Myvi berwarna putih.
Laporan media sebelum ini memetik Idris sebagai berkata, kejadian itu dipercayai bermotifkan cemburu dan lebih kepada bersifat peribadi.