Enam tahun berlalu... Nik Omar kenang pemergian ayahanda, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz

Astro Awani
Februari 11, 2021 23:07 MYT
Ketokohan dan akhlak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadikan beliau antara pemimpin Islam contoh di negara ini. - Foto Facebook/Nik Omar
SUDAH enam tahun pemergian ulama ternama negara, dan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berlalu.
Begitupun, masih ramai yang terkenangkan Allahyarham bukan sahaja kerana ketokohannya sebagai Menteri Besar, tetapi kesantunan dan akhlaknya menjadikan beliau antara pemimpin Islam contoh di negara ini.
Anak kedua Allahyarham, Nik Omar hari ini memuat naik nukilan di laman Facebooknya mengenai pemergian ayahandanya yang tercinta itu.
Dalam nukilan tersebut, Nik Omar mendoakan kerahmatan buat Allahyarham dan memaklumkan akan mengupas sedikit kisah mengenai ayahnya pada kuliah Jumaat esok.
“Saat ini, malam Jumaat 12/2/2015, sekitar jam 9.40 malam, ayahanda yang disayangi telah pergi menghadap Allah Subhanahuwa Taala pada 6 tahun yang lalu. Doakan kerahmatan dan maghfirah dari Allah untuk ayahanda tercinta.
“Bersempena Kuliah Jumaat esok jam 9.30 pagi ambo (saya) akan kupas sedikit berkaitan ayahanda insya-Allah,” tulisnya.
Nukilan tersebut yang disertai gambar Allahyarham serta suasana hari pengebumiannya mendapat pelbagai reaksi — rata-ratanya mendoakan dan memuji sifat serta ketokohan Nik Aziz yang disifatkan “tiada pengganti”.
Salah satu komen, iaitu dari Maznini Mzin menyatakan, “Pemergian yg ditangisi seluruh negara. Belum ada yg dapat mengganti almarhum TGNA. Semoga Allah swt merahmati roh almarhum & diberi kurniaan pahala yg selayaknya.”
Sementara komen dari Ghazali Hasan pula menulis, “Teringat arwah yg sgt merendah diri dan suka menyantuni tetamu. Moga Allah tempatkan bersama2 dgn para Nabi di Syurga. InsyaAllah.”
Sumber Facebook UstNikOmar
Nik Aziz menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman beliau di Pulau Melaka, Kota Baharu, Kelantan pada pukul 9.40 malam, 12 Februari 2015, kira-kira sejam selepas pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Krian.
Allahyarham yang meninggal dunia ketika berusia 84 tahun dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Lebih mesra dipanggil sebagai ‘Tok Guru’, Allahyarham mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak.
Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.
Kehidupan Allahyarham sangat sederhana meski bergelar Menteri Besar selama 23 tahun.
Selama 23 tahun menjadi Menteri Besar Kelantan, sokongan rakyat tidak berbelah bahagi sehingga Pas mampu mengekalkan pentadbiran sehingga sekarang.
#Nik Aziz #Tok Guru Nik Aziz #Nik Aziz Nik Mat #Nik Omar #Mursyidul Am Pas #PAS #ulama #Islam #pemimpin
;