Enam suspek terlibat aktiviti kumpulan Daish ditangkap

Rahimah Abdullah
Mei 3, 2017 11:18 MYT
Kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIa - kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574). - Foto PDRM
Enam warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan aktiviti kumpulan militan Daish ditangkap dalam operasi khas di Kelantan, Selangor, Melaka, Johor, dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita ditahan di antara 24 hingga 25 Mac lalu oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kesemua suspek ditahan di bawah Bab VIa - kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
Tangkapan pertama melibatkan dua lelaki di Kelantan, manakala, tangkapan kedua dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melibatkan seorang wanita yang juga pelajar jurusan Makmal Perubatan di sebuah kolej awam di Lembah Klang.
Dua lagi tangkapan melibatkan seorang penganggur dan seorang pembantu jurutera kilang wanita.
"Lelaki itu seorang penganggur dan pernah terlibat dengan kumpulan pengganas Daish di Syria.
"Manakala, suspek wanita yang merupakan seorang pembantu jurutera kilang terlibat dalam mempromosikan kumpulan pengganas Daish melalui aplikasi Google Plus," kata Khalid dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi suspek yang juga penganggur ditahan di Pulau Pinang pada 25 April lalu kerana disyaki mempromosikan kumpulan pengganas Daish melalui 15 akaun Facebook miliknya.
Suspek juga merancang untuk melancarkan serangan di Masjid Syiah di Pulau Pinang.
Sementara itu, seorang suspek penyeludupan senjata api yang menganggotai kumpulan sama dilapor telah melarikan diri ke selatan Thailand dengan melalui Sungai Golok pada 22 Mac lalu bersama sepucuk pistol dan M4 Carbine.
Suspek dikenal pasti sebagai Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27 tahun, dan beralamat di Rantau Panjang, Kelantan.
#Counter Terrorism #daish #Khalid Abu Bakar #kumpulan militan #pengganas #polis
;