Enam suspek ditahan berhubung kes bunuh Bill Kayong

Astro Awani
Julai 1, 2016 13:26 MYT
Semasa PRN Sarawak lalu, Bill bertanding di kerusi DUN Bekenu di mana beliau tewas kepada calon Barisan Nasional
Polis telah menahan enam suspek dalam pembunuhan Setiausaha PKR Bahagian Miri, Bill Kayong, di Lutong pada 21 Jun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata, lima lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 41, ditahan malam tadi dan juga pagi ini.
"Mereka akan direman selama tujuh hari untuk soalsiat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Dev Kumar lagi, pasukan siasatan khas tidak dapat memberi sebarang maklumat lanjut buat masa ini, untuk memastikan tiada gangguan ke atas siasatan.
Terdahulu, Dev Kumar berkata antara individu yang akan dipanggil memberi keterangan termasuk ahli keluarga serta rakan terdekat mangsa.
"Kami masih lagi menyiasat daripada pelbagai sudut. Pada masa ini, kami sedang menemu bual beberapa ahli keluarga dan juga rakan terdekat mangsa untuk mendapatkan maklumat tepat bagi membantu siasatan kes ini.
"Setakat ini, siasatan kes masih berjalan dan kami akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa," kata Dev Kumar ketika dihubungi Astro AWANI sebelum ini.
Saksi kejadian diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri atau menghubungi talian 085-432222.
Dalam kejadian 21 Jun lalu, Bill yang ketika itu sedang memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota yang tertera logo PKR, telah ditembak dari sebelah tingkap pemandu ketika menunggu di lampu isyarat.
Mangsa dilaporkan ditembak pada leher dan rebah di tempat duduknya kira-kira jam 9.20 pagi.
Bill, 43 tahun, juga merupakan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Miri, Dr Michael Teoh.
Semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, Bill bertanding di kerusi DUN Bekenu di mana beliau tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Rosey Yunus dalam pertandingan empat penjuru.
27 Jun: Polis fokus tiga elemen siasat kes tembak Bill Kayong
21 Jun: PDRM tubuh pasukan khas siasat kematian Bill Kayong
#jenayah Sarawak #Kes bunuh Bill Kayong #Pembunuhan #PKR #tembakan
;