Enam suspek disyaki tawar rasuah monopoli projek kerajaan selama 19 tahun ditahan

Khalis Khadir
Februari 4, 2025 23:31 MYT
Siasatan awal mendapati, ia dilakukan sejak 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya diguna untuk meraih komisen hingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki memberi rasuah.
Ia dipercayai dilakukan bagi memonopoli kesemua projek ditawarkan dua jabatan kerajaan di dua daerah sekitar Sarawak.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 70-an ditahan pada Selasa menerusi operasi khas di beberapa lokasi sekitar Sarawak.
"Siasatan awal mendapati, ia dilakukan sejak 2006 sehingga kini dan kontraktor yang terlibat membenarkan lesennya diguna untuk meraih komisen hingga 10 peratus daripada nilai projek berkenaan.
"Dalam masa sama, jurutera awam itu pula menerima upah kerana membantu mendapatkan projek-projek jabatan berkenaan," katanya.
SPRM turut menyita sebuah kenderaan Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya memaklumkan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Miri, Mahkamah Sibu dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak pada Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
#SPRM #Rasuah #monopoli projek #Sarawak
;