Enam sungai di Lembah Klang dimonopoli ikan asing

Bernama
Mei 27, 2024 08:00 MYT
Ikan tombot atau ikan bandaraya antara spesies ikan asing yang mendominasi sungai terutama sekitar Lembah Klang ketika ini. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam sungai di Lembah Klang dimonopoli spesies ikan asing seperti ikan bandaraya, tilapia hitam dan keli afrika.
Ia melibatkan Sungai Kuyoh, Sungai Klang, Sungai Keroh, Sungai Jinjang, Sungai Gombak dan Sungai Batu.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Datuk Adnan Hussain berkata keadaan itu amat membimbangkan terhadap ekosistem sungai berkenaan.
"Tindakan sesetengah pihak yang melepaskan ikan-ikan asing ini tidak membantu kerana tindakan ini menyebabkan biodiversiti ikan-ikan asli yang kita ada semakin menurun.
"Bukan itu sahaja, ikan-ikan (asing) itu juga tidak memberi banyak nilai tambah kepada ekonomi negara dan jika perkara ini tidak dihalang ia akan menyebabkan ikan asli di perairan kita pupus," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program Memburu Ikan Asing bersama Komuniti di Sungai Kuyoh, Bukit Jalil di sini semalam.
Program itu merupakan kerjasama DOF dengan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, agensi kerajaan, pihak swasta, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Adnan berkata pemburuan ikan asing itu bertujuan menyeimbangkan ekosistem bagi memastikan sungai negara selamat untuk pelepasan spesies ikan asli.
Beliau berkata menerusi program tersebut, lebih 600 ekor ikan asing seberat 400 kilogram (kg) ditangkap dalam tempoh dua jam.
"Dalam program hari ini yang menggunakan kaedah menjala, kami mendapati 99 peratus ikan yang kita dapat adalah ikan asing. Apa yang lebih mengejutkan, sepanjang dua jam itu, hanya dua ekor ikan spesies asli ditangkap iaitu ikan puyu.
"Tangkapan ikan bandaraya paling besar berjaya ditangkap hari ini adalah seberat lebih 1kg manakala keli Afrika seberat 4kg," katanya.
-- BERNAMA
#sungai di Lembah Klang #ikan asing #ekosistem sungai #biodiversiti ikan asli
;