Enam sekeluarga ditahan bersama dadah sintetik bernilai RM24,000
Bernama
Mac 26, 2014 07:25 MYT
Mac 26, 2014 07:25 MYT
Polis menahan enam orang dari sebuah keluarga termasuk dua wanita dan merampas lima paket plastik yang dipercayai mengandungi dadah sintetik bernilai RM24,000 di sebuah rumah di Kampung Sireh di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan DSP Mit Emong berkata bertindak atas intipan dan maklumat awam, sepasukan polis menyerbu rumah yang dipercayai menjadi pusat pengedaran dadah itu.
Katanya dalam serbuan pukul 2 petang itu, polis menemui tiga paket plastik mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah dianggarkan seberat 90.3 gram dan dua paket plastik biru mengandungi 450 biji pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis Methaphetamine.
Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek yang berumur 31 dan 21 tahun positif dadah jenis Methaphetamine.
Katanya dan kesemua anggota keluarga itu ditahan reman bagi membantu siasatan.
Mit berkata polis turut menyita sebuah kereta serta dua buah motosikal.