Enam rumah rosak akibat ribut di Perlis

Bernama
September 16, 2024 04:45 MYT
Orang ramai diminta segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pemimpin masyarakat serta pihak JKM bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan keperluan kepada mangsa ribut.
KANGAR: Enam rumah rosak apabila bumbung tercabut akibat ribut di beberapa kawasan di Perlis, kira-kira 5 petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor berkata berdasarkan rekod pihaknya setakat 9.10 malam tadi, kawasan terjejas melibatkan Kariah Beseri Sungai Paya, Kota Kayang, Wang Besar, Padang Melangit, Abi dan Tok Kaya.
"Rumah mengalami kerosakan kecil akan diberikan bantuan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis manakala kerosakan teruk akan dirujuk JKM untuk diberi bantuan oleh MAIPs.
"Isu di luar garis panduan sedia ada JKM juga akan dirujuk kepada MAIPs," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Mohd Nazim meminta orang ramai segera membuat laporan polis dan memaklumkan kepada pemimpin masyarakat serta pihak JKM bagi memudahkan urusan penyaluran bantuan keperluan kepada mangsa terlibat.
-- BERNAMA
#Perlis #ribut #rumah rosak #Jabatan Kebajikan Masyarakat
;