Enam rumah hangus terbakar selepas kanak-kanak lelaki OKU main lilin
Ruzaini Zulkepli
Disember 8, 2017 11:30 MYT
Disember 8, 2017 11:30 MYT
Gara-gara seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) yang dipercayai terencat akal bermain lilin, enam buah rumah musnah sekelip mata dalam kebakaran di Skim Penempatan Kinarut, petang Khamis.
Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu berlaku ketika lilin yang dipegang kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut terlepas dari tangan lalu membakar kain.
Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan penyelamat Papar, Aloysius Steven Amit, sebaik sahaja menerima panggilan jam 6.39 petang, enam buah jentera dengan kekuatan 32 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kita menerima panggilan kebakaran pada jam 6.39 sebelum berjaya mengawal kebakaran pada jam 7.25 petang.
"Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya kepada Astro AWANI di sini.
Sementara itu, salah seorang mangsa kebakaran, Norsah Norsan, 31, ketika kejadian dia bersama dua anaknya yang masing-masing berusia 11 dan 4 tahun berada di rumah sebelum dikejutkan dengan jeritan jiran mengenai kebakaran itu.
"Ketika itu saya sedang memasak di dapur dan dua anak saya berada di ruang tamu menonton televisyen.
"Saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting sahaja dan baju dalam sebuah beg kecil," katanya.
Sementara itu, bagi salah seorang saksi penduduk kampung, Arasat Ahmad, 42, kebakaran itu merebak begitu pantas sehingga memusnahkan enam buah rumah selain menyebabkan lebih 30 orang terpaksa tinggal sehelai sepinggang.
Katanya, orang kampung bergegas membantu dan menolong mangsa yang terjejas.
#Aloysius Steven Amit
#balai bomba
#Balai Bomba dan Penyelamat Papar
#Kampung Laut Kinarut
#kanak-kanak OKU
#kebakaran
#lilin
#terencat akal