Enam remaja terperangkap dalam lif lega diselamatkan
Nazialita Geynna Maharan
Disember 4, 2017 05:41 MYT
Disember 4, 2017 05:41 MYT
Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan enam remaja yang terperangkap di dalam sebuah lif di Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR), Jalan Pasir Bogak, dekat sini, pada malam Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Datuk Yahya Madis berkata pihak bomba menerima panggilan sekitar 10.18 malam mengenai insiden berkenaan dan bergegas ke lokasi.
Katanya, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Pangkor mendapati kesemua enam remaja tersebut terperangkap di lif tingkat bawah dan pintu tidak dapat dibuka.
"Bekalan elektrik juga tidak stabil ketika kesemua remaja belasan tahun itu berada di dalam lif.
"Anggota BBP Pangkor akhirnya dapat mengeluarkan keenam-enam dengan selamat dengan menggunakan kunci pendua," katanya dalam kenyataan media di sini pada Isnin.
Jelasnya, operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Muzaidi Mohamad itu mengambil masa kurang daripada 20 minit dan tamat sekitar 10.36 malam.