Enam rakyat Malaysia selamat tiba dari Lubnan, jumlah keseluruhan kini 17 orang dievakuasi
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 6, 2024 09:00 MYT
Oktober 6, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri mengesahkan seramai enam orang rakyat Malaysia daripada sebuah keluarga selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Lubnan pada pagi ini (6 Oktober 2024).
Wisma Putra dalam kenyataan segera memaklumkan, seramai enam orang lagi turut dijadualkan tiba di Malaysia malam ini.
Ini menjadikan jumlah rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang berjaya dievakuasi keluar dari Lubnan dalam tempoh dua hari yang lalu seramai 17 orang.
Jelasnya lagi, walaupun keadaan semakin mencabar di Lubnan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berjaya mengaturkan penerbangan pulang ke Malaysia bagi semua baki rakyat Malaysia yang masih berada di Lubnan.
Mereka dijangka akan tiba di Malaysia secara berperingkat pada Isnin dan Selasa minggu ini.