Enam Raja Melayu berangkat tiba di Istana Negara
Ridauddin Daud
Ogos 20, 2021 14:45 MYT
Ogos 20, 2021 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu berangkat tiba memasuki Istana Negara kira-kira jam 2.40 petang ini bagi menghadiri pertemuan khas bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pertemuan khas itu diadakan bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan baharu.
Kenderaan terawal berangkat tiba ke Istana Negara adalah kenderaan membawa Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berangkat masuk pada jam 2 petang.
Kemudian, kenderaan membawa Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pula berangkat tiba ke Istana Negara pada jam 2.14 petang.
Ia disusuli kenderaan membawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang berangkat tiba pada jam 2.23 petang.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut berangkat masuk ke Istana Negara seminit kemudian.
Keberangkatan tiba Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula adalah pada jam 2.32 petang.
Mesyuarat Raja-Raja Melayu | Sultan Perak berangkat tiba di Istana Negara
Yang terakhir berangkat tiba ke Istana Negara adalah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
Selepas keberangkatan Tuanku Muhriz, Pintu 1 Istana Negara telah ditutup dan anggota polis juga tidak lagi berkawal di pekarangan istana.
Setakat ini, tiada keberangkatan tiba Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
[TERKINI] Pertemuan khas Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu
Pertemuan khas tersebut selain membincangkan isu politik semasa, ia juga dijangka membincangkan isu COVID-19 dan ekonomi negara.
Semalam, seramai 114 Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Sesi itu diadakan selepas mereka menghantar surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong pelantikan Perdana Menteri baharu susulan peletakkan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Setakat ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan dicalonkan secara sebulat suara untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
#Raja Melayu
#Raja-raja Melayu
#Istana Negara
#Yang di-Pertuan Agong
#calon perdana menteri
#Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
#pertemuan khas