Enam premis judi haram dipotong bekalan elektrik untuk elak beroperasi

Astro Awani
Januari 31, 2018 14:40 MYT
Antara premis yang dipotong bekalan elektrik bagi melumpuhkan aktiviti perjudian atas talian. - Astro AWANI
Tidak serik diserbu pihak berkuasa dan menerima notis penutupan, pemilik perniagaan judi atas talian di sekitar Gunung Keriang di sini mengubah taktik dengan menjadikan rumah persendirian sebagai lokasi baharu menjalankan aktiviti tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa turut menggunakan cara khusus untuk 'melumpuhkan' aktiviti tempat-tempat perjudian yang degil berkenaan.
Bertindak atas rungutan orang awam, sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhat (TNB) melakukan serbuan untuk memotong bekalan elektrik di enam premis.
Lebih mengejutkan, pihak berkuasa turut mendapati terdapat premis yang melakukan penyambungan elektrik secara haram untuk beroperasi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin keenam-enam premis berkenaan telah dikeluarkan notis penutupan pada minggu lalu bagaimanapun masih menjalankan kegiatan mereka.
Kedegilan pemilik premis itu mengundang padah apabila mereka bakal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Pemilik premis judi kini memilih lokasi rumah di kampung pedalaman bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, sepanjang 2017, sebanyak 16 premis telah disita kerana gagal membayar denda selepas dikenakan tindakan mahkamah.
Beliau juga meminta orang awam supaya tidak terjebak dengan aktiviti perjudian atas talian dan segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya terdapat kegiatan perjudian di kawasan mereka.
#bekalan elektrik #judi #judi atas talian #Judi Online #kegiatan haram #online gambling #polis
;