Enam penumpang cedera bas terbabas di Lebuhraya Utara-Selatan
Bernama
November 22, 2015 10:30 MYT
November 22, 2015 10:30 MYT
Enam penumpang bas persiaran, termasuk empat wanita, cedera ringan selepas bas yang dinaiki mereka terbabas di KM421.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata dalam kejadian pukul 8.33 malam, bas tersebut yang dinaiki 43 orang sedang dalam perjalanan pulang dari Melaka ke Pulau Pinang.
"Tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dan Sungai Buloh dikejarkan ke tempat kejadian. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sementara itu, M. Rameswaran, 29, juruteknik Kilang Western Digital di Pulau Pinang yang cedera dalam kemalangan itu, berkata mereka berlepas pulang ke Pulau Pinang pada pukul 6.30 petang selepas melawat kilang di Melaka.
"Semasa kejadian, saya sedang bermain telefon bimbit dan terkejut apabila tiba-tiba bas bergoncang kuat lalu terbabas ke dalam longkang di tepi lebuh raya itu," katanya kepada Bernama.
Katanya difahamkan, sebuah kereta yang berada di laluan kiri bas itu secara tiba-tiba mengubah haluan ke tengah lebuh raya, menyebabkan pemandu bas terpaksa membrek dengan mengejut lalu mengakibatkan kenderaan itu terbabas di kiri jalan.
#Kilang Western Digital
#Lebuhraya Utara-Selatan
#M.Rameswaran
#Melaka
#Mohd Sani Harul
#pulau pinang