Enam pelajar warga Thailand positif COVID-19, ICQS Padang Besar ditutup

Salim Aziz
Mei 27, 2020 19:24 MYT
Kakitangan yang bertugas di ICQS Padang Besar pada Isnin diarah menjalani kuarantin. Gambar fail
Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar ditutup sepenuhnya bermula hari ini selepas enam pelajar warga Thailand yang melaluinya disahkan positif COVID-19.
Exco Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri, Ruzaini Rais, berkata enam pelajar berusia 23 hingga 33 tahun itu adalah sebahagian daripada kumpulan 39 pelajar yang menuntut di sebuah universiti di Arab Saudi.
"Kepulangan mereka diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan Thailand, sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mereka melalui ICQS itu pada Isnin.
"Berikutan itu, tiga individu menjalani perintah kuarantin di Songkhla manakala tiga lagi diarah menjalani kuarantin di rumah masing-masing," katanya di sini, pada Rabu.
Sementara itu, sumber Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata seramai 18 anggota Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (10) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (enam) yang bertugas di kompleks itu Isnin lalu sudah diarah menjalani kuarantin.
Mereka menjalani proses itu selama 14 hari bermula hari ini di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar.
Sehubungan itu, Ruzaini, menasihatkan seluruh rakyat Perlis supaya lebih berjaga-jaga dan tidak memandang ringan perkara sedemikian.
#Arab Saudi #ICQS #KLIA #padang besar #pelajar Thailand #penerbagan #Perlis #sempadan #Thailand
;