Enam pegawai kastam ditahan disyaki bantu kongsi gelap seludup dadah

Bernama
Ogos 1, 2017 07:00 MYT
MOHMAD: Kita telah tahan mereka dan akan jalankan siasatan. - Gambar fail
Polis menahan enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) semalam dan Ahad lepas, dipercayai membantu kumpulan kongsi gelap menyeludup dadah masuk ke negara ini.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi Bernama malam tadi.
"Kita telah tahan mereka dan akan jalankan siasatan," katanya ringkas.
Media melaporkan selain pelbagai jenis dadah, pegawai terbabit juga dipercayai turut melepaskan bahan mentah memproses dadah dan menerima imbuhan daripada kumpulan berkenaan yang aktif dalam penyeludupan serta pengedaran dadah di negara ini sekurang-kurangnya sejak setahun lepas.
Menurut laporan itu, kesemua suspek yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu direman selama 28 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sementara itu, Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota dan pegawai yang menyalahgunakan kuasa dan tidak berintegriti.
"Buat masa ini biar polis jalankan siasatan terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA
#Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 #Dadah #KLIA #kongsi gelap #Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur #Mohmad Salleh #pegawai kastam #polis #suspek #T Subromaniam
;