Enam pasar raya tawar diskaun sehingga 40 peratus kepada peniaga Menu Rahmah

Astro Awani
November 2, 2023 17:58 MYT
Armizan berkata permohonan bagi Kad Diskaun Khas itu dibuka hari ini melalui portal khusus kepada pengusaha Menu Rahmah. -Gambar ihsan UKK KPDN.
KUALA LUMPUR: Peniaga yang menyediakan Menu Rahmah berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 40 peratus di enam pasar raya, kata pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Armizan berkata, KPDN merintis usaha memperkenalkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah bagi membantu peniaga yang menyediakan menu tersebut.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 2,849 premis berdaftar yang menawarkan Menu Rahmah di seluruh negara.
"Enam pasar raya yang bersetuju terbabit dalam pelaksanaan inisiatif Kad Diskaun Khas Menu Rahmah adalah AEON Big, Econsave, Giant, Lotus's, Mydin, dan NSK.
"Antara barangan yang ditawarkan dengan kadar diskaun kepada pengusaha Menu Rahmah yang sudah diluluskan penyertaan dalam program ini adalah barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan," katanya ketika sidang media pengumuman Kad Diskaun Khas bagi pengusaha Menu Rahmah pada Khamis.
Armizan berkata, permohonan bagi Kad Diskaun Khas itu dibuka hari ini melalui portal khusus kepada pengusaha Menu Rahmah.
"Inisiatif ini adalah salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan program Menu Rahmah sebagai galakan untuk meningkatkan lagi pengusaha restoran.
"Kerajaan komited memperluas dan menjayakan lagi program Menu Rahmah bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dapat menikmati pilihan makanan di luar dengan harga berpatutan," katanya.
Menu Rahmah merupakan inisiatif yang dilancarkan oleh bekas menteri KPDN, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub awal tahun ini.
#Armizan Mohd Ali #kpdn #Salahuddin Ayub #Kad Diskaun Khas Menu Rahmah
;