Enam nelayan Indonesia ditahan tangkap ikan di perairan negara
Bernama
Jun 2, 2023 16:53 MYT
Jun 2, 2023 16:53 MYT
GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan asing bersama enam kru Indonesia yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan 48 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada Rabu.
Pengarahnya Kapten Abd Razak Mohamed berkata bot APMM yang sedang menjalankan rondaan telah menahan bot nelayan dari Indonesia itu kerana berada dalam keadaan mencurigakan pada 12 tengah hari.
"Semasa ditahan bot nelayan itu sedang menangkap ikan di perairan Malaysia dan pemeriksaan mendapati ia tidak mempunyai nombor pendaftaran dengan dikendalikan oleh enam kru termasuk tekong yang kesemuanya warga Indonesia berusia 18 hingga 51 tahun.
"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua lelaki itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya semua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan menurut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk ke Malaysia tanpa memiliki suatu pas yang sah.
-- BERNAMA