Enam nelayan asing dicekup ceroboh perairan, tiada dokumen sah
Ruzaini Zulkepli
September 2, 2019 14:20 MYT
September 2, 2019 14:20 MYT
Enam nelayan warga asing dicekup selepas disyaki tidak mempunyai sebarang dokumen sah dalam kejadian di perairan Pulau Gaya, Kota Kinabalu, semalam.
Kesemua suspek lelaki yang merupakan warganegara Filipina dan Indonesia itu berusia antara 16 hingga 38 tahun ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah.
Timbalan Pengarah Operasi APMM Sabah, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri dalam kenyataan medianya hari ini berkata, dalam kejadian jam 10.30 pagi Ahad itu, pihaknya berjaya memintas sebuah bot nelayan di di posisi 0.6 batu nautika Barat Daya Pulau Gaya kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua awak-awak tidak memiliki dokumen pengenalan yang sah dan nama tekong juga tidak sama seperti yang tertera pada lesen bot.
"Bot tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
"Bot dan awak-awak telah dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat," katanya.
Dalam pada itu, Asmawati berkata, APMM turut menyeru kepada semua komuniti maritim untuk mematuhi undang-undang laut dan melakukan aktiviti perikanan sepertimana yang telah disahkan dalam lesen.
#APMM
#ceroboh perairan
#Filipina
#Indonesia
#Maritim Malaysia
#nelayan warga asing
#Pulau Gaya
#tiada dokumen sah