Enam MP Umno, 16 MP PAS sokong Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal
Firdaus Azil
Oktober 24, 2019 15:16 MYT
Oktober 24, 2019 15:16 MYT
Enam Ahli Parlimen Umno hari ini tampil memberi sokongan agar Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan mandat sebagai Perdana Menteri sehingga pilihan raya umum seterusnya.
Enam individu berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Datuk Dr Adham Baba (Tenggara), Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Datuk Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).
Dalam satu sidang media di Lobi Parlimen hari ini, keenam-enam ahli Parlimen berkenaan berkata Dr Mahathir perlu terus menjadi Perdana Menteri bagi memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara terus menjadi keutamaan.
“Kami hendak jangan ada masalah kerana peralihan (kuasa) dalam tempoh dua tahun ini satu perkara tidak masuk akal. Rakyat sudah memberi mandat untuk mereka memerintah, tapi jangan berpolemik kerana akhirnya akan melingkupkan ekonomi negara.
“Saya yakin ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) sudah nyatakan pendirian, dan pendirian orang muda dalam Barisan Nasional hendak beritahu Perdana Menteri sedia ada untuk teruskan hingga bubar parlimen,” katanya lagi.
Mohd Shahar berkata, sekiranya peralihan kuasa itu, yang dianggap ‘Kerajaan Pintu Belakang’ oleh Timbalan Presiden PKR sendiri Datuk Seri Azmin Ali terjadi, ia langsung tidak akan beri keuntungan kepada negara.
Sementara itu Mastura berkata, isu peralihan kuasa itu hanya menampakkan caca-marba dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan, sedangkan apa yang seharusnya diutamakan ialah suara rakyat Malaysia yang mahu melihat kestabilan.
“Ada yang kata Tun kelihatan lemah sebab parti dia (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) tak cukup kerusi, tetaepi satu perkara yang tidak boleh diketepikan adalah suara rakyat yang memilih Pakatan Harapan dan Tun sebagai ketuanya,” katanya pada sidang media itu.
Dalam pada itu, sewaktu sesi perbahasan, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan kesemua ahli Parlimennya berjumlah 16 orang turut memberi sokongan kepada Dr Mahathir.
Beliau, yang juga Ketua Whip PAS berkata, situasi terkini politik telah menimbulkan rasa kurang senang terhadap ramai pihak, terutamanya rakyat Malaysia sendiri.
“Memang (peralihan kuasa) ini bukan hal kita, tetapi sebagai ahli Parlimen, pemimpin rakyat, maka posisi Perdana Menteri itu sangat penting demi kesejahteraan negara ini.
“Kita sebagai pemimpin sering kali ditanya rakyat, apa akan terjadi sekiranya kerajaan baharu ambil alih. Kita diberitahu tempohnya adalah dua tahun, tetapi seolah-olah masalah dalaman dalam kerajaan tidak dapat diselesaikan. Ahli Kabinet tidak sebulu antara satu sama lain,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020 hari ini.
Apa pun terjadi, Takiyuddin berkata, beliau memberi jaminan Dr Mahathir akan mempunyai 18 undi tambahan sekiranya memerlukan.
#Anwar Ibrahim
#Azmin Ali
#Barisan Nasional
#Mahathir Mohamad
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#pilihan raya umum
#PKR
#PPBM
#sokong perdana menteri
#UMNO