Enam menteri, lima timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak?
Wan Syamsul Amly
Mei 14, 2013 07:31 MYT
Mei 14, 2013 07:31 MYT
Seramai enam menteri penuh dan lima lagi timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak akan dilantik dalam Kabinet 'transformasi' Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak petang ini.
Astro Awani difahamkan, muka-muka baru yang akan dilantik itu disifatkan 'hadiah' kemenangan mereka di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini.
''Beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak akan mengisi jawatan Timbalan Menteri Pertahanan,Timbalan Menteri Kesihatan dan beberapa kementerian baru yang akan diumum Perdana Menteri,'' kata sumber itu.
Jelas sumber itu lagi, 60 peratus muka baru akan diumum memegang portfolio menteri dan timbalan menteri selain beberapa 'senior' yang sudah berkhidmat dalam dua atau tiga penggal ditukar ke kementerian lain.
Beberapa muka lama juga dijangka 'direhatkan' berikutan majoriti tipis dalam PRU baru-baru ini.
Kata sumber itu lagi,sekurang-kurangnya seorang menteri dari MCA akan diumum walau Presiden parti itu, Datuk Seri Chua Soi Lek sudah mengumum tiada wakil dari partinya yang akan menganggotai barisan Kabinet baru itu.
Spekulasi peningkatan wakil menteri dan timbalan menteri dari Sabah dan Sarawak sudah hangat diperkatakan sejak Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar di kedua negeri itu pada PRU ke-13.
Banyak khabar angin disebar media dan orang ramai yang menjangka spekulasi itu bakal menjadi kenyataan dalam barisan Kebinet baru kali ini.
Najib dijadual menghadap Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah pada tengahhari untuk mendapat perkenan kepada barisan Kabinet baru.
Pengumuman Kabinet baru akan diumum di Putrajaya pada sebelah petang Rabu.